Dewan Rakyat kecoh lagi isu siapa pengkhianat sebenar


Please subscribe


Polemik mengenai "pengkhianatan" memanaskan suhu Dewan Rakyat hari ini apabila wakil rakyat kerajaan membantah tuduhan pembangkang bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk melalui pengkhianatan.

Ia bermula apabila Hanipa Maidin (PH-Sepang) bangkit mencelah perbahasan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.

Bung Moktar berkata perpaduan amat penting dan atas sebab itu kerajaan PN mewujudkan Kementerian Perpaduan Negara.

Perbahasannya kemudian dicelah Hanipa yang bangkit mempersoalkan sama ada perpaduan boleh dicapai melalui pengkhianatan antara Umno dengan Bersatu dan PAS.



Membalas pertanyaan Hanipa, Bung Moktar berkata bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu juga pengkhianat apabila meninggalkan PAS.

"Sebetulnya yang menganggap pengkhianatan ialah mereka yang kecewa. Yang Berhormat (Sepang) juga pernah mengkhianati, dahulu PAS, keluar juga," katanya.

Ini dipanaskan lagi dengan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang turut mencelah dan menyoal ahli parlimen Kinabatangan itu adakah beliau setuju bahawa peletakkan jawatan perdana menteri oleh Dr Mahathir Mohamad (Bebas- Langkawi) pada Februari lalu yang tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menunjukkan pengkhianat sebenarnya.

"Sepatutnya YB Langkawi (Dr Mahathir) berbincang dengan Majlis Presiden PH menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tetapi perkara itu tidak berlaku sebab presiden-presiden parti dalam PH tak tahu Langkawi nak letak jawatan.

“Siapa khianat siapa sekarang? Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi penyelamat keadaan," katanya.



Bung Moktar kemudiannya bangkit dan memberi laluan kepada Mahathir untuk menjawab dakwaan itu.

Kata Mahathir, episod pengkhianatan bermula di Hotel Sheraton apabila individu dalam parti gabungan disertainya sebelum ini bertindak bekerjasama dengan parti lawan.

"Saya dapati Arau dan Baling mengaku bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku di Hotel Sheraton. Kalau tak tahu tak payah (perlu) cakaplah.

"Tetapi yang saya tahu berkenaan pengkhianatan apabila satu orang masuk dalam parti berjanji untuk tolak parti pemerintah yang terbabit dengan kleptokrasi, curi duit, rasuah dan sebagainya.Rakyat percaya akan apa yang dinyatakan orang ini.

"Setelah rakyat pilih orang ini mereka menolak harapan rakyat dan mengkhianati mereka dengan beralih menyokong parti yang dahulu katanya mereka lawan. Ini satu pengkhianatan juga," katanya ketika mencelah.

Tidak berhenti di situ, Bung Moktar bangkit dan menjawab dakwaan Mahathir bahawa bekas perdana menteri itu orang yang pertama menerima wakil rakyat Umno melompat parti.



"Pada peringkat awal saya rasa Langkawi orang pertama yang menerima kemasukkan bukan pengkhianat... tetapi kawan-kawan saya dari Umno ke Bersatu.

"Penerimaan berpilih-pilih pula nakkan yang bersih. Di situlah pergolakkan yang bimbangkan kita apabila Langkawi jadi perdana menteri dan Majlis Presiden dalam satu gabungan, tiba-tiba letak jawatan," kata Bung Moktar.

Mahathir kemudian berkata Bersatu tidak pernah menerima ahli Umno.

"Orang Umno mesti keluar daripada Umno dan isytihar mereka Bebas sebelum mereka diterima … terdapat banyak syarat-syarat untuk mereka menyertai Bersatu, sudah tentu ada orang Umno ni yang menipu.

“Kalau masuk Bersatu mereka berlagak sebagai ahli Umno dan sekarang bekerja untuk menolong Umno. Kita percaya pada orang tapi mereka mengkhianati kepercayaan kita," kata Mahathir.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman kemudian cuba menghentikan polemik itu mengingatkan Ahli Parlimen bahawa mereka sedang membahaskan RUU Perbekalan.

"Yang Berhormat semua, sebelum sambung perbahasan sekejap lagi, saya ingatkan kita ini bahas RUU Perbekalan Perbelanjaan.

"Tetapi Yang Berhormat, saya tak tahulah ada ke RUU pengkhianatan ini, ada ke?" kata Azalina. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram