Tertiris surat Dr M lulus dana RM5 juta kepada Syed Saddiq sewaktu jadi PM



Cyberjaya – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM5 juta kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas alasan untuk pembangunan belia.

Melalui salinan surat yang di hantar kepada SuaraTV, Syed Saddiq di laporkan telah memohon peruntukan dana khas Jabatan Perdana Menteri untuk di salurkan kepada Youth Power Club (YPC).

“Kementerian Belia dan Sukan melihat pertubuhan belia sebagai medium terbaik dalam membangunkan generasi belia semasa. Sehubungan itu Youth Power Club (YPC) telah dijenamakan sebagai satu entiti baru dalam proses intervensi dan regenerasi dalam pertubuhan belia.

“Penubuhan YPC ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat proses pengurusan dan pembangunan belia di peringkat akar umbi yang lebih komprenhensif.



“Justeru saya berhasrat untuk memohon peruntukan khas Perdana Menteri sebanyak RM5 juta ringgit untuk digunakan dalam merencana aktiviti-aktiviti YPC.

“Besarlah harapan saya agar YAB Tun dapat mempertimbangkan permohonan ini seterusnya menyumbangkan kepada usaha untuk memperkasakan pembangunan dan keupayaan belia,” memetik kandungan permohonan surat tersebut.

Permohonan tersebut kemudiannya diluluskan oleh Dr Mahathir tanpa melalui sebarang penilaian yang sewajarnya.

Ini kerana permohonan Syed Saddiq yang bertarikh 6 Ogos 2019 itu diluluskan pada 9 Ogos 2019, iaitu 3 hari kemudian.

“Diluluskan untuk dana khas PMO,” memetik cacatan Dr Mahathir ke atas permohonan tersebut.



Awal Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah merampas wang tunai berjumlah RM600,000 daripada dua ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dipercayai sebagai wang parti yang disalah guna.

Selain itu, pihak SPRM turut merampas sebuah kereta mewah yang dianggarkan bernilai RM100,000 milik seorang ahli parti berkenaan yang dipercayai dibeli menggunakan dana yang disalah gunakan.

Rentetan itu, SPRM telah menahan Rafiq Hakim Razali yang juga merupakan Presiden YPC merangkap Bendahari Armada Bersatu bagi membantu siasatan.

Selain Rafiq turut ditahan seorang ahli Armada yang juga merupakan Bendahari YPC.

Media sebelum ini turut melaporkan kehilangan wang berjumlah lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq yang membawa kepada siasatan SPRM berhubung perkara itu pada Mac lalu susulan aduan daripada beberapa pihak. – SuaraTV

ARTIKEL BERKAITAN ISU WANG RM25K SYED SADDIQ







Join our Telegram Channel
Telegram