Dua ditahan pasang bendera terbalik



ALOR SETAR - Polis menahan dua individu termasuklah seorang pemilik restoran kerana memasang bendera Kedah secara terbalik di sebuah premis di Pekan Pandak Mayah, Kuah, Langkawi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemilik restoran berusia 58 tahun ditahan bersama seorang pekerja warga asing berusia 32 tahun.


Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat dari orang berhubung gambar bendera Kedah dipasang terbalik yang tular oleh pemilik restoran makanan laut berkenaan kira-kira jam 6 petang tadi.

"Bertindak atas maklumat, ketua polis Balai Kuah bersama anggota polis telah ke premis di Pekan Pandak Mayah, Kuah, di sini, dan bertemu dengan pemilik restoran berkenaan.

"Melalui siasatan, pemilik restoran telah menyuruh pekerja lelaki di premis yang merupakan warga Bangladesh untuk memasang bendera negeri Kedah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Mohd Iqbal berkata, bagaimanapun, difahamkan tanpa disedari bendera berkenaan telah dipasang terbalik.

"Susulan itu, kita melakukan tangkapan ke atas kedua-dua individu dan mereka akan direman pagi esok," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 39 B Akta Imigresen 59/63. – Sinar

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada undang-undang kata pasang bendera terbalik satu kesalahan – Aziz Bari





Join our Telegram Channel
Telegram