Penguatkuasa MBSA ditahan SPRM selepas video bongkar isu judi haram di Sg Buloh



PETALING JAYA: Tiga penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini, dalam siasatan ke atas dakwaan mengutip dan menerima rasuah bulanan bagi melindungi premis yang menjalankan perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh, kata sumber.

Sumber memaklumkan, 2 penguatkuasa dari cawangan Sungai Buloh dan seorang dari Shah Alam ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika dipanggil memberi keterangan.

Mereka, yang berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun itu, ditahan dalam operasi yang dijalankan bermula 9 pagi tadi.



Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut, dan tidak menolak ianya kutipan rasuah secara bersindiket dalam kalangan anggota penguatkuasa.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah di kalangan penguatkuasa untuk tampil memberikan kerjasama. Identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Perkembangan ini menyusuli penularan video di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa gagal menguatkuasakan undang-undang di Sungai Buloh, selain dikatakan menerima rasuah daripada perniagaan tanpa lesen termasuk aktiviti perjudian dan penjualan rokok seludup.



Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM, iaitu berkenaan kesalahan memberi atau menerima rasuah. Mereka yang ditahan akan dibahadapkan ke mahkamah bagi permohonan reman.

Sementara itu, seorang peniaga berbangsa Aceh ditahan SPRM dan diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut.

Sumber memaklumkan, peniaga itu beroperasi sejak 2019.

“Dia dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguatkuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan,” katanya. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram