Saksi: Zahid kata sumbangan untuk tujuan keagamaan dan kebajikan



Rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, B Muralidharan, memberitahu mahkamah dia ada bertanya mengenai cek-cek sumbangan yang diberikan Ahmad Zahid Hamidi untuk disimpan dalam akaun pelanggan di firmanya.

Dalam pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, dia berkata hanya itu pengesahan (verification) yang dibuatnya berhubung sumbangan puluhan juta yang diterima daripada bekas timbalan perdana menteri itu.

Lee: Adakah kamu buat pengesahan tentang sumber duit atau cek yang diberikan kepada kamu oleh Datuk Seri (Ahmad Zahid) sebelum kamu masukkan (ke dalam akaun pelanggan)?

Muralidharan: Yang arif, saya ada tanya dia. Dia bagitahu saya, ini merupakan sumbangan untuk tujuan keagamaan dan kebajikan.


Lee: Itu sajakah pengesahan yang kamu buat?

Muralidharan: Itu saja.

Muralidharan hadir sebagai saksi ke-87 perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-36 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Terdahulu, Lee meminta Muralidharan mengesahkan 92 cek dan cek jurubank yang diterimanya daripada Ahmad Zahid, serta 28 penempatan akaun simpanan tetap melibatkan hampir semua cek berkenaan.


Semua rekod itu disimpan di dalam satu fail berwarna merah yang dibuka untuk Yayasan Al-Falah.

Lee turut menyoal lanjut mengenai kenyataan yang dibuat Muralidharan dua hari lepas mengenai bekas rakan kongsinya di Lewis & Co yang pernah menjadi ahli lembaga pemegang amanah sebuah yayasan Alzheimer pada 90-an dahulu.

Jawab Muralidharan, meskipun rakan kongsinya itu ahli lembaga pemegang amanah yayasan itu, Lewis & Co sendiri tidak pernah menjadi pemegang amanah yayasan berkenaan dan tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada yayasan itu untuk dimasukkan ke akaun Lewis & Co.

Lee: Pada ketika itu, ketika dia (bekas rakan kongsi) menjadi pemegang amanah (yayasan berkaitan Azlheimer itu), adakah apa-apa wang daripada yayasan itu yang dimasukkan ke (akaun) Lewis & Co?

Muralidharan: Tidak Yang Arif.


Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah puluhan juta daripada pelbagai pihak, yang kemudiannya diserahkan kepada Lewis & Co untuk didepositkan ke dalam akaun pelanggan firma berkenaan.

Ahmad Zahid kemudian dituduh mengarahkan sebahagian besar wang itu untuk didepositkan ke akaun simpanan tetap di bawah Lewis & Co.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Dalam keterangan sebelum ini, saksi-saksi dari Lewis & Co mengesahkan Yayasan Al-Falah sebagai pelanggan Lewis & Co, namun menafikan firma itu menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Berdasarkan keterangan saksi lain pula, Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid- Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi- manakala Yayasan Akalbudi adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.


Bagaimanapun, Muralidharan mengesahkan dua hari lalu bahawa semua wang yang disimpan dalam akaun yang dibuka untuk Yayasan Al-Falah datang daripada Ahmad Zahid, dan Ahmad Zahid jugalah yang mengarahkannya membuka akaun tersebut, selain mengarahkannya membuka fail untuk Yayasan Al-Falah bagi merekod semua transaksi itu.

Sebelum Lee, timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran turut bertanya Muralidharan apakah sebagai peguam bela dan peguam cara, dia bertanggungjawab menyimpan wang daripada cek itu di dalam akaun pelanggan meskipun wang itu bukanlah datang daripada pelanggannya - dalam kes ini, Yayasan Al-Falah.

“Saya tak rasa apa-apa yang salah yang arif. Pelanggan saya ialah Yayasan Al-Falah. Wang diberkan kepada saya oleh Datuk Ser Zahid untuk dibayar kepada Yayasan Al-Falah,” jawab Muralidharan.

Pemeriksaan utama di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram