DAP bantah Anwar bawa Umno diketuai Zahid, Najib – Guan Eng



KOTA KINABALU: DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno, selagi ia di bawah pimpinan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Najib Razak, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Walaupun mengakui ia persoalan yang timbul baru-baru ini, beliau berkata, ia adalah pendirian parti itu.

“Kita lawan Umno, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) kerana kita tak boleh terima dasar memecahbelahkan rakyat.


“Saya tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dengan Umno di bawah pimpinan Zahid dan juga Najib,” katanya ketika berucap dalam ceramah yang disiarkan di Facebook hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyentuh secara langsung dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Rabu lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Walaupun beberapa pemimpin Umno dan BN segera menafikan mereka menyokong Anwar, Zahid dilaporkan berkata, ramai ahli Parlimen Umno serta BN menyokong Anwar, tetapi parti itu tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian.


Katanya, sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional ialah sokongan ahli Parlimen saja.

Semalam, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking dalam ucapannya berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Tanpa sokongan DAP, Anwar akan kehilangan sokongan 42 ahli Parlimen dan presiden PKR itu turut dilaporkan berkata, ahli Parlimen Pejuang yang diketuai Dr Mahathir Mohamad bukan dalam kalangan wakil rakyat yang menyokongnya. – FMT 


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram