Kerajaan PH Selangor potong elaun masjid



KUALA LUMPUR – Jumlah elaun bulanan yang diberikan kepada ahli jawatan kuasa masjid di seluruh negeri Selangor oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) terpaksa dikurangkan bagi memberi keutamaan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan di negeri itu.

Pengarah Jabatan Agaa Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, surat makluman berhubung perkara itu telah dikeluarkan pada 10 September lalu melalui Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.

"Arahan dikeluarkan kepada semua Pegawai Tadbir Agama Daerah memandangkan bayaran kepada individu terlibat dibuat oleh Pejabat Agama Daerah masing-masing.

"Arahan juga dibuat secara dalam kepada semua Pegawai Tadbir Agama Daerah supaya bayaran dilakukan mengiktu jadual baharu yang telah ditetapkan susulan penstrukturan semula peruntukan oleh pihak LZS," katanya.


Menurut Mohd. Shahzihan, Pegawai Tadbir Agama turut diarahkan untuk memaklumkan kadar baharu itu selaras dengan kesedaran semua pihak termasuk pegawai yang layak menerima bayaran bahawa pendemik Covid-19 memberi kesan kewangan dan ekonomi kepada banyak pihak.

"Bayaran tersebut bukanlah secara bulanan, namun dibayar secara empat bulan sekali dan bayaran bagi bagi Januari hingga April telah dibuat mengikut kadar asal sebelum penstrukturan semula dibuat.

"Insya-Allah, pada tahun hadapan JAIS berharap peruntukan diberikan seperti sebelumnya, namun ia bergantung kepada kemampuan LZS untuk berbuat demikian," jelas beliau.

Untuk rekod, terdapat sekurang-kurangnya 375 masjid di sekitar Selangor yang berdaftar dengan JAIS dan sebelum ini kesemua masjid tersebut layak menerima peruntukan sebanyak RM1,430 untuk diagihkan kepada lapan ahli jawatan kuasa setiap masjid melibatkan seramai 3,000 individu.


Bagaimanapun, jumlah RM1,430 itu kini terpaksa dikurangkan kepada RM800 bagi memberi keutamaan kepada keperluan golongan fakir miskin yang memerlukan.

Dalam pada itu, Ketua Divisyen Oeprasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, penstrukturan semula kadar bayaran elaun itu dibuat hasil daripada perbincangan di antara pihak LZS dan JAIS susulan pengurangan jumlah kutipan zakat semasa.

"Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan kepada banyak pihak dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan zakat.

"Kami juga menjangkakan pertambahan dalam golongan asnaf serta permohonan bantuan lebih-lebih lagi apabila berakhirnya temph moratorium kelak," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.


Selangor sebelum ini mengejutkan negara apabila menaikkan elaun kehadiran ADUN enam kali ganda yang sebelum itu berjumlah RM75 sehari kepada antara RM300 hingga RM500 sehari.

Difahamkan, setiap ADUN Selangor menerima gaji bulanan RM11,250 di samping menerima pelbagai elaun berjumlah RM19,500 sebulan.

Ia merangkumi RM10,000 sebagai peruntukan pejabat, RM6,000 untuk tiga pembantu, RM1,500 untuk pemandu, RM1,500 sebagai elaun khas (termasuk bil telefon dan minyak) dan RM500 untuk elaun hiburan.

Kerajaan PH juga pernah memansuhkan elaun khidmat kritikal yang mana menerima kecaman hebat dari seluruh rakyat Malaysia. – Kosmo! / Cinca








Join our Telegram Channel
Telegram