Khalid sahkan Husam letak jawatan



CYBERJAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) meluluskan permohonan Datuk Husam Musa untuk melepaskan jawatannya sebagai naib presiden, kata Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abd. Samad

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata, keputusan itu buat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu.

Kata beliau, permohonan peletakan jawatan itu adalah untuk membolehkan Husam memberikan tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.



“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatankuasa Nasional Amanah telah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro Amanah dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tiga biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya sedang disediakan untuk persetujuannya,” katanya.

Semalam, sebuah portal melaporkan Husam meletakkan jawatan Naib Presiden Amanah.



Bagaimanapun, beliau menafikan khabar angin itu dengan menyifatkannya sebagai tidak betul.

Menurut Khalid, apa jua gambaran bahawa beliau meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Presiden, Mohamad Sabu atau mana-mana pimpinan Amanah adalah tidak berasas.

Sebaliknya, ujar beliau, ianya dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan Amanah di Kelantan, khususnya di Kota Bharu. – SuaraTV



Join our Telegram Channel
Telegram