Kubur keluar darah gemparkan penduduk



ALOR SETAR – Penduduk di sekitar bandar ini gempar dengan kejadian ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan di Derga di sini hari ini.

Kejadian berkenaan turut viral di Facebook yang mana mendakwa kubur itu dipenuhi darah, bagaimanapun ada pihak mengatakan ia cecair berwarna merah seperti minyak.

Kubur tersebut yang turut mendap telah ditimbus semula oleh pihak masjid.

Penduduk, Rahmat Ahmad, 50, dari Langgar berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian itu melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar rakan.


“Kebetulan pada masa itu  saya melalui Jalan Langgar lalu singgah ke tanah perkuburan tersebut dan melihat sudah ada beberapa orang yang berada di situ.

“Saya mendapati ada cecair warna merah di atasnya dengan keadaan kubur mendap,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Irfan, Yahya Saad ketika dihubungi berkata, beliau telah dimaklumkan oleh beberapa kakitangan masjid itu pada petang tadi.

Katanya, dia terus melawat kubur tersebut dan terdapat cecair merah di atas tanah perkuburan itu.

“Bagaimanapun saya tidak pasti cecair itu sama ada darah atau sebaliknya yang mana jenazah dikebumikan kira-kira dua minggu lalu.


“Hasil perbincangan dengan ahli jawatan kuasa masjid, saya mengarahkan supaya tanah kubur itu ditimbus semula pada petang ini juga bagi mengelakkan fitnah,” katanya.

Menurut Yahya, pihaknya juga akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada malam ini untuk siasatan lanjut.

“Jabatan Agama Islam Kedah juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini dan pihak berkenaan akan turun untuk membuat siasatan esok,” ujarnya.

Beliau pada masa sama meminta orang ramai tidak memviralkan kejadian kerana maklumat yang disebarkan tersebut belum sahih. – Kosmo!


Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram