PETALING JAYA: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman membidas seorang
pemimpin kanan Warisan kerana didakwa menyifatkan pengorbanan anggota
keselamatan dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 sebagai
“sandiwara”.
Ia susulan 1 klip video menunjukkan pemimpin itu membuat kenyataan berbaur
penghinaan semasa berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
FMT tidak menamakan pemimpin itu sementara menunggu reaksinya dan cubaan
menghubunginya sehingga kini masih tidak berjaya.
Menerusi video kira-kira 2 minit itu, beliau yang juga bekas menteri
persekutuan mendakwa pasukan keselamatan mengebom kelapa sawit dan rumah, dan
pasukan di darat berperang dengan “ayam dan anjing”.
“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, sambil
menambah semasa bertugas sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah menemui
lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau
mengambil semula Sabah.
Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran Lahad Datu itu kerana
“sandiwara”.
Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah
dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan
Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 pegawai keselamatan
Malaysia dan 6 orang awam.
Pengganas yang masih hidup ditangkap atau menyerah diri, dan konflik itu
diisytiharkan berakhir pada 10 April 2013.
Dalam kenyataannya, Anifah mengkritik pemimpin itu dan menyifatkan ucapan
berkenaan sebagai penghinaan terhadap pasukan keselamatan yang mempertaruhkan
nyawa mereka untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Di manakah rasa hormat pemimpin parti Warisan ini kepada anggota keselamatan
Malaysia yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan bumi Sabah?”
soalnya.
Anifah berkata, kenyataan pemimpin itu tidak boleh diterima dan melukakan hati
keluarga dan rakan seperjuangan pasukan keselamatan.
Please subscribe
Mereka gugur bukan kerana berperang dengan ayam dan anjing! |
Pencerobohan Lahad Datu berakhir pada April 10, 2013 dengan 56 militan Sulu, 10 anggota keselamatan serta 6 orang awam terbunuh. (Gambar Bernama) |
Join our Telegram Channel