BN, Bersatu, PAS, GPS, PBS, STAR kekal bersama Muhyiddin



PETALING JAYA: Parti yang bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, susulan Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai cukup majoriti di Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.


Menerusi kenyataan bersama setiausaha agung parti dari Barisan Nasional, PPBM, PAS, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR, mereka menyangkal kenyataan Anwar dengan menyifatkan ia merupakan ulangan publisiti murahan.

“Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan 1 lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.


“Tindakan terbaharu beliau ini menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19,” kata kenyataan itu yang ditandatangani Annuar Musa, Hamzah Zainudin, Takiyuddin Hassan, Alexander Nanta Linggi, Jahid Jahim dan Guan Dee Kohoi.

Menurut mereka, sikap ditunjukkan Anwar akan menyebabkan rakyat bangkit menolak politik seperti itu malah akan bersama menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat. – FMT 






Join our Telegram Channel
Telegram