Perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas, sebaliknya diteruskan dengan pematuhan penuh SOP dan 30 pesakit Covid-19, termasuk 8 kakitangan itu sedang dirawat di hospital berkenaan. (Gambar Bernama) |
MELAKA: Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19,
bukannya 11 sebagaimana tersebar di media sosial semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Ismail Ali berkata, 8 anggota perubatan
itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan, manakala kontak rapat mereka
sudah disaring dan sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing, bukannya
di hospital.
Katanya, perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas, sebaliknya diteruskan
dengan pematuhan penuh SOP dan keseluruhannya 30 pesakit Covid-19 sedang
dirawat di hospital itu.
Beliau berkata, Hospital Melaka merupakan hospital rujukan kes Covid-19 di
Melaka, dan urusan di semua unit hospital berkenaan perlu melalui janji temu
serta orang ramai diingatkan sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan di sana.
Mengulas lanjut, katanya, tiada penutupan wad, termasuk wad 1-1 di Hospital
Melaka, sebaliknya pihak pengurusan hospital mengambil langkah mengawal
pergerakan di semua wad bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan virus itu.
Ismail berkata, sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa Covid-19 di
Melaka boleh dibuat melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis
Kebangsaan Melaka dengan menghubungi 06-2345999 atau e-mel
cprcmelaka@moh.gov.my.
Terdahulu, dakwaan wujud kluster membabitkan 11 kakitangan, jururawat, doktor
di Hospital Melaka dan wad 1-1 ditutup untuk dijadikan wad kuarantin
kakitangan positif Covid-19 tersebar di aplikasi WhatsApp.
Join our Telegram Channel