
PETALING JAYA: Bekas presiden Umno, Najib Razak menegur penyokong Pakatan
Harapan susulan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 selepas pilihan raya
Sabah, mengingatkan mereka Barisan Nasional dan sekutu, Perikatan Nasional,
tidak mahu pilihan raya negeri diadakan atas sebab itu.
“Tidak adil untuk salahkan PN atau BN sahaja sebab kita memang tidak mahu PRN
Sabah diadakan.
“Tiga kali kita pohon di 3 mahkamah, 3 kali permintaan kita ditolak,” katanya
di Facebook hari ini.
Najib menyorot perhatian penyokong PH kepada turutan peristiwa yang membawa
kepada PRN Sabah, menunjukkan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri
bukan di tangan BN dan PN.
Pertama, katanya, Yang di-Pertua Sabah enggan terima bekas ketua menteri Musa
Aman menghadap untuk beliau tunjukkan sokongan majoriti yang diperolehi untuk
membentuk kerajaan baharu.
“Ini jauh berbeza dengan masa TYT menerima Shafie Apdal menghadap setelah Upko
melompat dan menjatuhkan Musa serta kerajaan BN Sabah selepas PR-U14.”
Kedua, katanya, YDP Sabah mengikut nasihat Shafie untuk membubarkan DUN supaya
PRN boleh dilaksanakan.
Najib berkata YDP Sabah mengambil langkah berbeza dengan pendekatan YDP
Melaka, yang enggan bubar DUN Melaka pada Mac, selepas berpuas hati ketua
menteri ketika itu tidak lagi dapat sokongan majoriti.
“Pada masa Shafie minta DUN dibubar, Musa juga tidak bersetuju.
“Masa itu juga, pemimpin-pemimpin PH lain memuji ‘keberanian’ Shafie untuk
membubarkan DUN supaya PRN boleh berlangsung.”
Najib mengambil maklum Shafie sendiri memohon maaf atas pembubaran DUN dan PRN
itu atas alasan rakyat Sabah berhak ada kerajaan bermaruah.
“Kita tidak ada pilihan lain selain membantu berkempen di sana walaupun
dinasihat oleh ahli keluarga untuk tidak lawat ke Sabah masa itu.”
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menasihatkan
orang ramai untuk duduk di rumah berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19
pada semalam, dengan jumlah sebanyak 260 kes baru, dengan 259 daripadanya
merupakan jangkitan tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel