KAJANG – Seorang wanita tergamak merancang pembunuhan suaminya yang buta
semata-mata untuk mendapatkan harta milik lelaki itu yang dianggarkan
berjumlah lebih RM2 juta.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 1 Oktober lalu itu si
isteri mengupah adik lelakinya untuk datang ke rumah mereka di Jalan Jati,
Kampung Sungai Chua di sini dengan tujuan membunuh suaminya yang juga seorang
ahli perniagaan.
Bagaimanapun, pembunuhan itu terbongkar pada Sabtu lalu selepas wanita berusia
45 tahun berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung laporan
dibuatnya yang mendakwa si mati disamun individu tidak dikenali di hadapan
rumah mereka.
Sumber memberitahu, pada hari kejadian, mangsa telah didatangi seorang lelaki
di pekarangan rumah sebelum suspek bertindak memukul kepalanya menggunakan
tukul besi selain melarikan rantai yang dipakai.
Susulan kejadian itu, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang di sini untuk
rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.
Kata sumber, pihaknya mendapati wujud keraguan dalam laporan yang dibuat
isteri pertama mangsa sebelum pihak polis memberkas wanita itu bagi membantu
siasatan.
“Isteri mangsa direman selama tujuh hari dan pada Sabtu lalu baru suspek
mengaku telah rancang membunuh suaminya bagi mendapatkan harta.
“Suspek turut mengaku mengupah adik lelakinya untuk melakukan pembunuhan
tersebut dengan menawarkan upah sebahagian daripada harta milik mangsa,”
katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut sumber, suspek dikatakan akan mendapatkan harta termasuk aliran tunai
milik suaminya yang berjumlah lebih RM2 juta termasuk RM800,000 daripada
insurans ekoran kematian mangsa.
Difahamkan, mangsa berusia 59 tahun yang mengusahakan perniagaan lori dan besi
buruk mengalami cacat penglihatan sejak 20 tahun lalu ekoran penyakit genetik
keluarga.
Mangsa juga dikatakan mempunyai dua isteri dan enam orang anak berusia dalam
lingkungan belasan tahun dan 20-an.
Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat itu pihak polis menahan suspek lelaki
berusia 42 tahun di kawasan Kajang pada Ahad lalu.
Jelas sumber itu, suspek wanita itu turut membawa polis ke sebuah kedai besi
buruk milik suaminya yang membawa kepada penemuan senjata yang digunakan
ketika kejadian.
“Tukul besi serta rantai leher mangsa ditanam di kedai besi buruk itu.
“Kedua-dua suspek itu masih dalam tahanan reman dan dijangka dituduh di
mahkamah pada Khamis ini,” ujarnya.
Join our Telegram Channel