RIYADH – Arab Saudi akan memberikan bantuan kewangan sebanyak 500,000
riyal (RM555,829.76) kepada keluarga pekerja kesihatan yang meninggal dunia
akibat pandemik koronavirus (Covid-19), lapor portal berita Al Arabiya
semalam.
Bantuan itu diberikan kepada keluarga para pekerja kesihatan di sektor awam
dan swasta, sama ada orang awam atau ketenteraan dan semua kewarganegara
yang meninggal dunia akibat Covid-19.
"Sejumlah 500,000 riyal akan diedarkan kepada keluarga yang meninggal dunia
akibat pandemik koronavirus yang bekerja di sektor kesihatan kerajaan sama
ada orang awam atau ketenteraan, rakyat Arab Saudi atau tidak," kata satu
keputusan daripada Majlis Menteri-Menteri negara beraja tersebut.
Keputusan itu juga dibuat selepas satu sesi mesyuarat Kabinet yang
dipengerusikan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz diadakan.
Menurut portal Arab News, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah menyediakan
kakitangan kesihatan dengan pelbagai bantuan, peralatan perubatan dan
mensanitasikan kemudahan kesihatan sebagai usaha memerangi pandemik
tersebut.
Pada Selasa lalu, pihak kementerian melaporkan 16 kematian dan 339 kes
baharu Covid-19 menjadikan jumlah pesakit yang dijangkiti pandemik tersebut
ialah 345,631 orang.
Angka kematian akibat pandemik itu ialah 5,329 orang. – Agensi
Join our Telegram Channel