Kesetiaan Bernama Annuar Musa



Kesetiaan Bernama Annuar Musa

Masih ada orang-orang yang tidak sihat terus galak mempersoalkan kesetiaan Annuar Musa kepada UMNO, kepada BN dan kepada kepimpinannya. Masih ada yang menganggap Setiausaha Agung Barisan Nasional itu lebih cenderung mempertahankan PPBM (BERSATU) dalam keadaan di mana dia sepatutnya melebihkan partinya sendiri.

Lebih galak lagi dua hari kebelakangan ini kenyataan lama Annuar Musa dikitar semula demi mencalarkan imej beliau. 

Saya katakan mereka tidak sihat kerana saya beranggapan mereka tidak rasional. Tidak melihat, atau tidak mahu melihat segala sesuatu dalam kerangka yang lebih luas. Mereka terhimpit dan dihimpit oleh emosi.

Atau barangkali mereka sebenarnya takut pada bayang-bayang Annuar. Boleh jadi juga mereka cemburu dan dengki. Mungkin ada di kalangan mereka itu yang merindui kerusi yang terlepas dari tangan semasa PRU ke-14 dahulu.


Atau mungkin juga ada yang siang malam bermimpi hendak kembali ke kerusi menteri, yang pernah diduduki puluhan tahun, tetapi kini tiada siapa lagi yang sudi melantiknya ke situ.

Jadi untuk melepaskan perasaan, mereka mencari sasaran. Kebetulan Annuar ada ‘isu’, maka dialah yang mereka sasarkan.

Apa ‘isu’ Annuar? 

Tidak, ia bukanlah kerana dia menderhaka kepada presiden. Tidak juga kerana dia menderhakai parti. Dan tentulah bukan sekali-kali kerana dia berpakat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di belakang tabir untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Kerajaan yang bukan dipilih oleh pengundi, tetapi sekurang-kurangnya setakat ini, cukup disenangi rakyat.

Yang dijadikan isu adalah tindakan Annuar Musa yang bersungguh-sungguh mempertahankan kemuafakatan antara Muafakat Nasional (MN) dengan Perikatan Nasional (PN). Yang menimbulkan marah orang-orang yang saya anggap sakit tadi adalah kerana tegarnya Ahli Parlimen Ketereh itu membentengi kerajaan yang ada sekarang.


Bagi orang-orang yang tidak rasional, melakukan perkara-perkara yang betul adalah suatu kesalahan; sebaliknya kalau melakukan perkara-perkara yang tidak betul seperti membuat bising di media massa atau media sosial, mengutuk dan mengata sama ada lawan atau kawan, akan mereka anggap sebagai tindakan berani dan terpuji.

Saya antara ahli UMNO yang telah lama menyimpan impian untuk melihat parti-parti Melayu/Islam duduk semeja, bergabung dan sama-sama berjuang dengan matlamat yang satu; mengangkat martabat agama dan bangsa yang telah sekian lama dipandang lekeh kerana hidup berpecah-belah.

Sebab itulah apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang dan kerajaan PN ditubuhkan, saya yakin bahawa saya merupakan antara orang Melayu/Islam yang paling gembira. Sejak itulah saya bertekad akan mempertahankan kerajaan ini dengan apa yang mampu, dan tanpa menggadai kesetiaan saya kepada UMNO dan BN.

Atas sebab yang sama jugalah saya berasa teruja apabila melihat pemimpin-pemimpin Melayu/Islam dari platform yang berbeza menampakkan kesungguhan mempertahankan permuafakatan yang membawa kepada tertubuhnya kerajaan PN.


Annuar salah seorang daripada mereka. Sebab itulah apabila ada pihak menyerangnya hanya kerana dia mempertahankan semangat ukhwah dalam PN, saya terpanggil untuk mempertahankannya.

Orang yang memperkecilkan kesetiaan Annuar kepada parti semata-mata disebabkan dia mempertahankan MN dan PN, sesungguhnya patut melihat sejarah politik SUA BN itu secara dekat. Saya yakin di situ mereka akan dapat menilai sendiri betapa besar kesetiaan Annuar kepada ketua dan parti.

Ahli-ahli UMNO yang berumur akhir 50-an dan yang mengambil berat tentang parti tentu masih ingat bagaimana kira-kira 38 tahun dahulu seorang anak muda, yang mewakili Kelab UMNO di luar negara, telah memukau persidangan agung UMNO Malaysia – jika tidak silap diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur – dengan kepetahan, kelantangan dan kebernasannya berhujah semasa membahaskan amanat presiden. Anak muda itu ialah Annuar bin Musa, pelajar di Universiti College London.

Ramai yang tahu bahawa orang yang membawa Annuar ke gelanggang politik ialah Tengku Razaleigh Hamzah, yang bukan sahaja tokoh nombor satu UMNO Kelantan tetapi juga nama yang sangat besar dalam UMNO pusat dan saingan paling digeruni oleh presiden UMNO dan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun).

Walaupun rapat dengan Ku Li, tetapi bila anak raja Kelantan itu bertanding melawan Mahathir bagi merebut kerusi presiden UMNO, Annuar memihak kepada Mahathir kerana prinsipnya adalah setia kepada parti dan setia kepada pemimpin.


Apabila Ku Li menubuhkan Parti Semangat 46, Annuar tidak ikut menyertainya. Dia kekal bersama UMNO sambil terus berpegang pada prinsip-prinsip kesetiaan kepada parti. Prinsip yang sama tidak pernah lekang dari hidupnya. Dia pernah kalah tiga kali dalam PRU, kali pertama di Parlimen Peringat di tangan ayam tambatan PAS, Mohamad Sabu (sekarang presiden Amanah), kali kedua dan ketiga di Parlimen Ketereh di tangan calon PKR.

Tetapi kekalahan-kekalahan itu tidak menggugat kesetiaan Annuar kepada parti. Dia tidak menjadikan dirinya ‘katak’. Kalah atau menang dia tetap berdiri terpacak bersama parti yang disertai sejak tahun 1979 itu.

Apabila Datuk Seri Najib diserang teruk dengan pelbagai isu sejak sebelum PRU ke-13, dan kemudian berterusan sehingga PRU 14, Annuar merupakan antara orang yang bermati-matian mempertahankan perdana menteri keenam itu. Dia antara panglima UMNO yang berada di barisan hadapan bagi menangkis serangan lawan. Dia melakukannya bukan kerana Najib secara peribadi, tetapi kerana Najib itu perdana menterinya, dan Najib juga presiden partinya.

Kemudian, apabila Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengambil alih pucuk pimpinan parti, Annuar melakukan perkara yang sama; menjadi perisai kepada bos baharunya itu. Sesiapa juga yang menyerang Zahid jarang terlepas daripada menerima serangan balas Annuar.

Dengan mengimbau kembali senario itu, maka mudah untuk kita fahami mengapa Annuar kelihatan beria-ia mempertahankan MN dan kerajaan PN. MN itu satu entiti yang dibentuk oleh UMNO dan PAS.


PN pula entiti berasingan, yang dibina hasil sokongan sejumlah ahli-ahli Parlimen pelbagai parti. Antara mereka termasuk Annuar. Turut bersama PN ialah beberapa buah parti lagi, termasuk PAS yang merupakan rakan kongsi UMNO dan MN.


Jelaslah kerajaan PN itu bukan hak mana-mana individu, hak mana-mana parti.Ia merupakan hak bersama, khususnya perpaduan Melayu/Islam. Dalam PN itu bukan hanya ada saham Annuar, tetapi saham kita semua, yang mencintai perpaduan, khususnya perpaduan Melayu/Islam.

Jadi apabila Annuar mempertahankan PN atau MN, ia bukanlah kerana kepentingan peribadinya, tetapi kerana kepentingan kita bersama. Yang lebih penting sebenarnya ialah, dia mempertahankan perpaduan Melayu/Islam yang menjadi asas kewujudan MN dan asas pembentukan PN.

Melainkan anda seorang yang mahu melihat Melayu/Islam berpecah belah; melainkan anda seorang yang mengutamakan kepentingan politik peribadi lebih daripada kepentingan bangsa dan agama, anda sepatutnya berdiri sebarisan dengan Annuar bagi mempertahankan MN dan PN daripada musuh, sama ada dari luar atau dari dalam; sama ada yang terang dan nyata, atau yang berselindung di sebalik kepentingan parti walhal hakikatnya didorong oleh kepentingan diri.

Bagi pecinta perpaduan macam saya, kami perlukan lebih ramai pemimpin macam Annuar Musa, macam Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, macam Datuk Takiyuddin Hassan, yang sentiasa berusaha mencari titik temu bukannya titik pemisah.

Allahuakbar! 

Hj Ehsan Khalid
Veteran UMNO
Seremban, Negeri Sembilan.


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram