Terkejut - itu ungkapan pertama diucapkan pengarah filem Syahmi Sazli apabila
filem sulungnya Mael Totey The Movie mendapat kutipan RM2.56 juta hanya
selepas empat hari tayangan.
Kata YouTuber yang kini bergelar pengarah itu, dia memang langsung tidak
percaya cetusan ilham 'budak kampung' sepertinya mampu mengumpul jumlah
kutipan sedemikian, apatah lagi memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh
filem Syif Malam Raya melalui platform berkenaan.
“Sangat terkejut sebab Mi (panggilan untuk Syahmi) memang tak sasar kutipan
tinggi pun.
"Bagi Mi dapat masuk Astro 1st tu pun kira satu kejayaan besar lebih-lebih
lagi ni karya budak kampung.
“Target Mi cuma nak keluar dari zon selesa YouTube, tu matlamat untuk 2020
ni,” katanya kepada Malaysiakini.
Ditayang sejak 22 Oktober lalu, Mael Totey The Movie mengangkat genre drama
komedi yang mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael - watak dilakonkan
Syahmi - berusaha belajar bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis
idamannya, Yaya.
Bagaimanapun dalam proses itu Mael bertemu cinta sejatinya iaitu Teacher Siti
yang mengajarnya bahasa Inggeris. Bagaimanapun hubungan itu berdepan cabaran
dengan adanya Yaya.
Konflik antara Mael, Teacher Siti dan Yaya diselesaikan oleh empat orang
kelainan upaya (OKU) iaitu Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.
Air mata gembira
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pemilik nama penuh Muhammad Syahmi Sazli
itu mendakwa dia menerima banyak mesej melalui Instagram yang menuduhnya
mengambil kesempatan ke atas pelakon istimewa demi meraih keuntungan.
Selain itu, beberapa pihak yang lain pula membayangkan filem berkenaan tidak
akan mendapat pulangan memberangsangkan kerana tidak menggunakan wajah-wajah
popular sebagai peneraju utamanya.
Selain mereka berlima, turut menjayakan filem berkenaan seperti Emaleen
Minhad, Aween Ismail, Ewan, Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid dan
Kamarool Yusoff.
Syahmi, 25, berkata insan di sebalik kejayaannya ketika ini adalah isteri,
Siti Noor Anissa Mohd Faizul atau lebih dikenali sebagai Anissa Faizul.
Katanya, Anissa, 22, menitiskan air mata gembira sebaik mengetahui jumlah
kutipan pada hari pertama tayangan kerana mengenangkan penat lelah yang perlu
mereka tempuhi untuk mengetengahkan naskhah tersebut.
“Saya rasa nak menangis pun ada. Tapi jika isteri saya, dia memang dah
menangis sejak kutipan hari pertama lagi.
“Saya dan isteri sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mulakan penggambaran
buat rangka cerita dan hingga kini tak berhenti-henti turun naik Kuala Lumpur
dari Kelantan.
“Kami tak ada bajet, semua benda buat sendiri dan isteri menjadi tulang
belakang saya selama ni,” katanya.
Syahmi juga mengucapkan terima kasih kepada peminat dan empat pelakon
istimewanya kerana tanpa mereka filem berkenaan tiada ertinya.
“Jutaan terima kasih kepada pengikut yang menyokong produk Mi. Mi juga
terhutang budi dengan pelakon istimea Mi serta kru produksi yang sanggup
berhujan berpanas untuk menjayakan filem ni,” katanya.
Sementara itu beberapa orang netizen memuji filem Syahmi yang boleh dikatakan
sangat berjaya jika dibandingkan dengan filem yang berkaitan dengan Tun Dr
Mahathir dan Pakatan Harapan.
Antaranya filem Kapsul yang membelanjakan kos sebanyak RM 2.1 juta yang telah
ditayangkan pada 17 September 2015 hanya mampu mendapat kutipan sebanyak RM
96,900 selepas 12 hari ditayangkan.
Kemunculan Tun Mahathir di dalam filem Kapsul. |
Mukhriz bergambar dengan barisan pelakon Rise: Ini Kalilah. |
Join our Telegram Channel