MELAKA: Seorang jururawat di Hospital Melaka membuat laporan polis selepas
mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh lelaki warga emas yang juga
pesakit Covid-19.
Warga emas berusia 60 tahun itu dikatakan mengeluarkan perkataan berbaur lucah
ketika jururawat berkenaan sedang melakukan prosedur rawatan terhadap pesakit
berkenaan.
Menurut laporan polis yang tular di media sosial, mangsa berusia 30 tahun,
sedang menguruskan pesakit itu dan mengambil darah dalam sebuah wad unit
rawatan rapi (ICU) hospital, sebelum terkejut apabila pesakit tersebut
mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.
Difahamkan, lelaki itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada
seorang wanita dipercayai isterinya, dan membuka pembesar suara ketika
berkomunikasi.
Berdasarkan perbualan itu, pemanggil berkenaan bertanyakan apa yang sedang
dilakukan, sebelum pesakit itu selamba berkata bahawa dia sedang ‘melakukan
aksi intim’ dengan jururawat bertugas.
Lelaki itu malah sedia membuat panggilan video untuk membuat pemanggil telefon
itu percaya pada kata-katanya.
Jururawat itu kemudian panik dengan kelakuan warga emas itu memandangkan hanya
dia seorang berada di dalam bilik berkenaan.
Tidak terhenti di situ, sejurus menamatkan panggilan, pesakit Covid-19 itu
kemudian meminta untuk melihat saiz ‘kondom kateter urin’ yang merupakan salah
satu alat rawatan yang digunakan, seterusnya menyuruh jururawat itu memegang
kemaluannya bagi memakaikan set peralatan tersebut.
Jururawat itu yang takut selepas mendengar kata-kata lucah warga emas
berkenaan bagaimanapun enggan melakukannya dan meminta pesakit memasukkannya
sendiri sebelum segera beredar serta membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid
Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian
tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ismail Ali dalam
satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedia maklum mengenai laporan polis yang
dibuat jururawat tersebut.
Join our Telegram Channel