Polis akan panggil MB Selangor ke Bukit Aman



KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ke Bukit Aman dalam masa terdekat untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan sedang dijalankan susulan kenyataan dimuat naik berhubung ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua itu yang didakwa ingkar kuarantin pada 5 Okt lepas.

“Beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan beberapa saksi lain juga akan dipanggil,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 15 serta Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan berkaitan usaha kerajaan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Amirudin sebelum ini menjalani kuarantin kendiri di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan sebaik pulang daripada pilihan raya negeri Sabah pada September lepas.

Pada 4 Okt lepas, Amirudin menerusi akaun Twitternya memohon maaf apabila terpaksa keluar daripada menjalani kuarantin bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan 2 loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas.


Menerusi hantaran sama, Amirudin berkata, beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, manakala kedua-dua ujian saringan yang dilakukannya menunjukkan keputusan negatif.

Amirudin turut memaklumkan beliau melawat loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pada awal bulan ini, dilaporkan berkata, polis sedang meneliti kes membabitkan Amirudin, termasuk permohonan maaf beliau menerusi media sosial sebelum sebarang tindakan susulan diambil. – FMT


 

Join our Telegram Channel
Telegram