
Semalam, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman telah
menegur Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan dua
timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Mohd Shahar Abdullah kerana tidak
hadir ke sesi perbahasan Belanjawan 2021.
Menurut Astro AWANI, Azalina menegaskan jika menteri tak dapat hadir,
sepatutnya timbalan perlu berada dalam Dewan Rakyat untuk dengar perbahasan
tersebut.
Timbalan Speaker juga menjelaskan bahawa, beliau setuju dengan soalan Ahli
Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang ingin tahu di mana menteri kewangan atau
timbalannya ketika sesi sedang berlangsung.
“Saya setuju dengan apa dikatakan Rayer sebelum ini dan saya percaya sama ada
menteri kewangan (Tengku Zafrul) atau timbalannya harus berada di sini untuk
mendengar perbahasan belanjawan.
“Saya tahu semua orang sibuk tetapi belanjawan adalah isu penting. Namun, saya
tidak melihat ada menteri di sini.
“Para penyokong kerajaan perlu sampaikan hal ini kepada mereka,” kata Azalina
pada akhir persidangan semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk
Seri Shahidan Kassim mencelah dan memaklumkan bahawa beliau difahamkan menteri
dan timbalannya menghadiri mesyuarat.
Join our Telegram Channel