Samseng 2 beranak mengaku tak salah halang ambulans



KLANG: Dua beranak yang videonya tular di media sosial kerana menghalang laluan sebuah ambulans, dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya dan menghalang perjalanan ambulans minggu lepas.

K Moganasuntharan, 63, dan anaknya, Kartik, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid dan Noorjidah Mohd Jusan.


Di hadapan Amirul Asyraf, mereka masing-masing didakwa menunggang motosikal dan memandu van secara berbahaya di Jalan Tepi Sungai, di sini, pada 2 petang 24 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Noorjidah, Moganasuntharan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan dengan sengaja menghalang perjalanan sebuah ambulans yang dipandu Muhammad Nur Aqhari Rosli, 22, di tempat dan masa sama serta didakwa mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.


Amirul Asyraf menetapkan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin kepada setiap tertuduh, bagi kesalahan menunggang dan memandu kenderaan secara berbahaya, manakala bagi kesalahan menghalang ambulans, Noorjidah membenarkan Moganasuntharan dilepaskan dengan jaminan RM1,000 serta seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 1 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamri dan Muhd Hanis Zulkapli, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A Biranta. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



 

Join our Telegram Channel
Telegram