Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) PNB, Jalil Rasheed menolak idea supaya
mencetak wang untuk membantu merancakkan ekonomi.
Ini susulan cadangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan
Ahmad Kamal supaya Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk
diagihkan kepada rakyat untuk dibelanjakan.
Bercakap di radio BFM pada Isnin lalu, timbalan menteri itu berkata, ini boleh
dilakukan dengan melupuskan hutang untuk membantu rakyat.
Katanya, ini boleh dilaksanakan menerusi dasar kewangan “wang helikopter”
dengan bank pusat secara langsung mencetak wang dan memberikannya kepada
rakyat supaya mereka dapat membelanjakannya.
Malah katanya, ini adalah beberapa langkah yang boleh dilaksanakan, dan negara
memerlukan dasar inovatif dari bank pusat.
Wang helikopter merujuk kepada dasar mencetak sejumlah besar wang baru untuk
diedarkan di kalangan rakyat, untuk merangsang ekonomi semasa kemelesetan.
Walau bagaimanapun, Jalil tidak bersetuju dan berpendapat bahawa dasar
seumpama itu tidak akan berjaya.
"Mencetak wang bukan penyelesaian buat Malaysia. Ia menurunkan nilai mata wang
- sekarang pun ringgit sudah cukup lemah - apabila terlalu banyak sedang
beredar.
"Ini seperti membahagikan kek dari 10 keping menjadi 20 keping. Bahagian anda
menjadi lebih kecil," ciapnya di Twitter malam tadi - tanpa membuat sebarang
sebutan mengenai Wan Fayhsal.
Jalil berkata, dasar seperti itu mungkin hanya dapat dilaksanakan di Amerika
Syarikat (AS).
Ini kerana mata wang dolar digunakan untuk perdagangan antarabangsa, dan lebih
banyak wang yang beredar masih akan mendapat permintaan tinggi.
Join our Telegram Channel