Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baru mengenai
lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa semalam.
Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai
serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober
tahun depan.
Kedai menjual ubat tradisional Cina juga dikenakan larangan tersebut, tetapi
pengecualian dibuat untuk produk minuman keras bagi "tujuan ubatan
tradisional".
"Berkuat kuasa 1 Oktober 2021 tiada lagi lesen baru LMK (minuman keras yang
memabukkan) di kedai runcit, serbaneka, ubat Cina.
"Untuk LMK sedia ada di kedai runcit, serbaneka, ubat Cina, pembaharuan
dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja," kata garis panduan itu.
Mereka masih dibenarkan menjual bir setelah larangan berkuat kuasa, tetapi
hanya dari jam 7 pagi hingga 9 malam.
Pemilik premis mesti memastikan minuman beralkohol dipamer berasingan dari
minuman lain, dan mengunci ruang rak pameran selepas jam 9 malam.
Pembeli mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.
Pasar raya, hypermarket, hotel, bar, dan pub masih dibenarkan menjual minuman
keras, tetapi mesti memastikan bahawa pelanggan berusia sekurang-kurangnya 21
tahun.
Dalam catatan di Facebook hari ini, DBKL menyatakan garis panduan baru itu
berkuat kuasa semalam setelah berunding dengan Kementerian Wilayah
Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja, polis, Institut
Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan, pihak berkepentingan, dan NGO.
Ia bertujuan untuk mengawal akses dan penggunaan produk minuman keras sambil
memastikan kesihatan dan keselamatan warga kota.
Garis panduan ini juga menetapkan had waktu minuman beralkohol boleh dijual
mengikut jenis premis, dengan pemohon atau pemegang lesen hanya untuk bukan
Muslim.
Pemilik premis juga perlu menunjukkan lesen mereka bersama dengan kod QR di
pintu masuk mereka - lesen biru di mana penggunaan alkohol dibenarkan di
premis, dan lesen kuning untuk pembelian untuk bawa balik rumah sahaja.
Perniagaan yang menjual minuman beralkohol tidak dibenarkan menghadap balai
polis, tempat ibadah, sekolah, dan hospital.
Bagi mereka yang membuat permohonan baru untuk LMK, mereka diminta untuk
mengiklankan notis di akhbar tempatan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa
Cina, dan bahasa Tamil setiap hari selama tiga hari berturut-turut.
Join our Telegram Channel