SHAH ALAM - Kerajaan digesa meluluskan cadangan pengeluaran RM10,000 akaun
satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia adalah duit rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, duit itu amat
diperlukan ketika ini kerana rakyat sedang susah kesan penularan pandemik
koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, bagi pencarum yang simpanan tidak sampai RM10,000 dalam akaun satu
KWSP pula, beliau mencadangkan agar 50 peratus daripada jumlah simpanan akan
dibenarkan untuk dikeluarkan.
Katanya, UMNO juga meminta moratorium automatik 2.0 bagi pinjaman kewangan
dilaksanakan selama enam bulan lagi.
"Kita bukan nak minta duit daripada kerajaan. Itu adalah duit rakyat sendiri
dan kita bukan minta dihapuskan pinjaman, kita hanya minta penangguhan
bayaran.
"Oleh itu kali ini harapnya luar biasa juga tindakan yang akan diambil Menteri
Kewangan iaitu apabila beliau menggulung (Belanjawan 2021) sebelum diundi,
maka adalah kenyataan bahawa beliau bersetuju tentang dua perkara ini,"
katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Siri 208 bertajuk 'Pasca
Bajet 2021: B40 lega, M40 derita?' yang disiarkan secara langsung di Facebook
Sinar Harian malam tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, wang sebanyak RM10,000 akan memberi manfaat
besar kepada rakyat kerana boleh digunakan untuk memulakan perniagaan yang
kemudiannya akan memberi impak dari segi kecairan ekonomi.
"Dari segi kecairan ekonomi, satu ringgit boleh jadi lima, enam ringgit. Jadi
berlaku (pulangan) lima, enam, tujuh kali ganda.
"Justeru, kalau kita ada tambahan RM20 bilion, RM30 bilion tambahan kecairan
itu maka ia akan membantu ekonomi," katanya.
Beliau berkata, dua perkara itu turut dibahaskan beliau di sidang Dewan
Rakyat, tiga hari lalu mengambil kira kesusahan yang sedang ditanggung rakyat
kerana statistik yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sendiri menunjukkan
sejumlah 840,000 rakyat hilang pekerjaan dan menganggur.
Kata beliau, sebagaimana surat yang ditulis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihaknya
menyokong Belanjawan 2021 tetapi berharap dua perkara tersebut diluluskan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad memberitahu, antara jalan keluar untuk
memastikan rakyat tidak terus terhimpit dengan keadaan ekonomi sekarang ialah
dengan mewujudkan bangsa usahawan dan memperhebatkan e-dagang.
Menurut beliau, e-dagang perlu diperhebat mengambil kira pergerakan rakyat
yang terbatas berikutan sekatan yang dijalankan untuk memutuskan rantaian
penularan Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang
dikuatkuasakan di hampir keseluruhan negeri ketika ini.
Katanya, susulan itu kerajaan perlu mempertingkatkan lagi latihan keusahawanan
dan pemberian mikro kredit kepada rakyat untuk menggalakkan mereka menceburi
bidang itu.
"Selain itu, (pelaksanaan) PKPB juga jangan terlalu lama. Kalau kawasan itu
sudah hijau kembali, kita hentikan PKPB kerana ia menyusahkan rakyat dan
merencatkan perniagaan," katanya. – Kosmo
ARTIKEL BERKAITAN:
- Lanjut moratorium, KWSP RM10,000 syarat BN sokong Belanjawan 2021
- [Video] Rayer buat perangai lagi, ganggu perbahasan Najib
- Saya bekas Menteri Kewangan pun keliru dengan Belanjawan 2021 – Najib
- MP Pas balun Najib, sokongan bersyarat BN ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang
- Syarat Najib-BN sokong Bajet 2021 boleh dilaksanakan, melainkan jika PN yang mahu menolak
- MP PAS pertahan kenyataan hikayat Puteri Gunung Ledang
- Boss KWSP kena sekolah dengan Najib
Join our Telegram Channel