Lelaki campak cucu dipercayai ada masalah mental



Seorang suspek lelaki warga Nigeria yang dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga sebuah apartmen di Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur, semalam, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Menjelaskan perkara itu dengan lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata ini kerana suspek didapati mengambil ubat-ubatan berkaitan mental.

Beliau berkata perkara berkenaan adalah berdasarkan keterangan ahli keluarga suspek.

“Selain itu, kami juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah menerima rawatan mental atau sebaliknya.


“Kami juga tidak boleh ambil keterangan suspek kerana suspek masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Saiful Azly berkata isteri suspek dan anak tiri yang cuba dirogol suspek sedang menerima rawatan di HKL kerana trauma dan kecederaan akibat dipukul suspek.

Mengulas sama ada suspek ada mengambil dadah, Saiful Azly berkata pihaknya akan mengambil ujian saringan air kencing milik suspek.

“Ya, kami akan ambil sampel urin suspek manakala hasil keputusan laporan bedah siasat kanak-kanak itu juga masih belum diperoleh,” katanya.


Saiful Azly berkata suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan.

Semalam, Bernama melaporkan suspek berkenaan telah ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya berusia empat tahun dari tingkat tiga, di apartmen berkenaan.

Berikutan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian itu kira-kira 8 pagi semalam.

Kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol seorang daripada anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang juga ibu kepada kanak-kanak yang maut itu. – Bernama
Join our Telegram Channel
Telegram