KUALA LUMPUR: “Saya kehilangan seorang kakak, seorang wanita yang hebat. Saya
amat menghargai kejujuranya menerima saya sebagai madu dalam kehidupannya.
“Kejujurannya, pengorbanannya dan kasih sayangnya tiada tolak bandingnya. Saya
akan merindui Kak Zana.”
Itu luahan rasa Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid kepada Astro AWANI berhubung
berita pemergian madunya, Datin Bahazanariah Baharudin.
Dalam wawancara dengannya sebentar tadi, Nurulhidayah terlalu sebak dan sedih
bercerita mengenai pemergian seorang wanita yang kental.
Pemergian Bahazanariah atau lebih mesra disapa Kak Nana oleh Nurulhidayah
merentap seluruh kekuatan yang ada dalam diri anak kepada Presiden UMNO, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.
Nurulhidayah dalam tangisan yang sukar dikawal bercerita bagaimana Allahyarham
Bahazanariah bersungguh-sungguh yang memintanya berkahwin dengan suami mereka,
Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.
“Arwah yang beriya-iya minta saya menikahi suaminya kerana beliau mahu
memberikan sepenuh perhatian pada kesihatannya sebaik disahkan mengidap kanser
payu dara.
“Saya tidak tahu bagaimana lagi mahu gambarkan kehebatan arwah. Pengorbanannya
akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya. Terima kasih Kak Nana atas
segala-galanya. Saya akan bawa kebaikan dan kasih sayang kakak sehingga ke
lahad,” ujar Nurulhidayah atau lebih dikenali sebagai Kak Long dalam kalangan
keluarga dan rakan-rakannya.
Allahyarham Bahazanariah yang berusia 50 tahun menghembuskan nafas terakhir
pada pukul 4.16 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kanser
payu dara.
Bahazanariah disahkan menghidap kanser tahap empat pada Ogos lalu.
Beliau menutup usia semasa dalam tidur dan disedari oleh suaminya, Saiful
Nizam.
Menurut Nurulhidayah, beliau dan Saiful Nizam yang bergilir-gilir menjaga
Bahazanariah semasa Allahyarham menerima rawatan di hospital.
“Arwah Kak Nana seorang yang sangat positif. Sekalipun dalam kesakitan, beliau
sentiasa tabah menerima dugaan daripada Allah, tidak pernah sekalipun
Allahyarham mengeluh, bahkan sentiasa mengingatkan diri agar bersabar.
“Inilah keperibadian yang akan saya rindui,” kata Nurulhidayah lagi.
Kisah Nurulhidayah berkongsi suami dengan Allahyarham Bahazanariah sentiasa
menjadi rujukan dalam pelbagai perbincangan melibatkan isu poligami.
Ini kerana, hubungan kedua-dua wanita itu amat akrab sekali dan sering dilihat
bersama-sama dalam pelbagai acara.
Bahkan, Nurulhidayah dan Bahazanariah juga tidak pernah kekok keluar
bersama-sama suami mereka dalam satu masa.
Nurulhidayah juga sering memuat naik pelbagai foto mereka dalam akaun
Instagram peribadinya.
Kehidupan bermadu mereka amat dikagumi ramai.
Kata Nurulhidayah dalam beberapa wawancara sebelum ini, beliau dan madunya itu
sentiasa mengamalkan sikap diplomasi dan saling memahami antara satu sama
lain.
Allahyarham Bahazanariah (tengah) diapit oleh Saiful Nizam dan Nurulhidayah ketika menghadiri satu majlis keraian. - Gambar Instagram NURULHIDAYAH |
Bahkan, kedua-dua wanita itu juga bertuah kerana suami mereka, Saiful Nizam
memainkan peranan yang bijaksana dalam memimpin rumah tangga mereka.
“Kak Nana adalah orang yang sentiasa memberi semangat untuk bergelar isteri
kedua. Arwah Kak Nana sentiasa ada di sisi saya ketika saya memerlukan dia
pada bila-bila masa.
“Sekali lagi ingin saya katakan, saya kehilangan seorang kakak dan wanita yang
sangat hebat. Terima kasih Kak Nana atas pengorbanan kakak. Terima kasih
kerana menerima saya dalam hidup kakak. Saya akan kenang kakak sehingga ke
akhir hayat saya,” kata Nurulhidayah lagi.
Join our Telegram Channel