
KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Husam Musa mendakwa
kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirancang sejak hari pertama menjadi
kerajaan.
Ia dapat dilihat melalui indikator daripada apa yang berlaku sejak awal dan
beliau sudah banyak kali memaklumkannya kepada pucuk pimpinan partinya sejak
tahun lalu termasuk kepada Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahudin Ayub.
Salah satunya sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri
melengah-lengahkan pelantikan senator dari kalangan parti PH.
“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16 kekosongan senator
pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk dilantik kemudian
di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku
Abdul Aziz) dan lain-lain.
“Ia (Dewan Negara) kini ia dikuasai oleh sebelah sana (kerajaan Perikatan
Nasional).
“Bagi saya kejatuhan PH dirancang dari awal, strateginya berjalan sendiri
sampai masa tup jatuh, cuma tarikh tidak tentu, tidak tetap,” katanya dalam
Sembang Santai Politik : Kejatuhan PH adalah satu rancangan di DHM Channel
semalam.
Beliau berkata sikap Mahathir melambat-lambatkan pelantikan senator itu
dianggap sengaja dibuat sedangkan dalam banyak isu lain, Ahli Parlimen
Langkawi itu sentiasa membuat keputusan segera.
Husam juga berkata, setiap sesuatu yang berlaku ada petanda oleh Allah
termasuk kiamat yang ada tanda-tanda kecil dan besar sebelum ia berlaku.
Justeru sekiranya pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang sama
(Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa.
“Kita (PH) sangkut kerana tak move forward. Banyak cara lagi, bukan kata
senang tapi selain Tun M jadi PM (semula) ada beratus lagi jalan yang ada,”
katanya lagi.
Mengenai kononnya ada kerjasama antara Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah
untuk menubuhkan kerajaan perpaduan juga dianggapnya membuang masa.
“Saya dengar Tun jadi enam bulan jadi PM, Ku Li pun enam bulan, ini buang
masa. Saya sudah sampaikan salam kepada orang yang baik dengan Ku Li, baik dia
kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau makan kari Pelita (kedai mamak) hari-hari mana nak?” soalnya sambil
menegaskan pucuk pimpinan parti perlu mengambilkira pandangan minoriti dalam
PH.
Join our Telegram Channel