Melaka membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan di semua masjid
dan surau khas Jumaat Negeri Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok (9 Nov) hingga 6 Dis depan.
Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata bagaimanapun kehadiran jemaah adalah
mengikut kapasiti saiz masjid, dengan penjarakan fizikal dan pematuhan
prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
“(Selain itu) kelas pengajian takmir, bacaan Yasin antara waktu Maghrib dan
Isyak, kuliah Subuh dan kelas ilmu berskala kecil yang sedia ada, dibenarkan
untuk dilaksanakan di semua masjid dan surau di Melaka.
“Setakat ini tiada masjid mahupun surau di Melaka yang ditutup berikutan
penularan Covid-19 dan keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Beliau berkata ceramah Maulidur Rasul dan lain-lain ceramah jemputan rentas
negeri dan dalam negeri yang berskala besar ditangguhkan dalam tempoh PKPB
ini, manakala jamuan makan selepas kelas pengajian takmir dan bacaan Yasin
pula tidak dibenarkan, dengan makanan disyorkan dibungkus dan dibawa balik
oleh jemaah.
“Urusan perkahwinan di masjid dan surau adalah tertakluk kepada bidang kuasa
Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pendaftar Perkahwinan Daerah dan SOP
keselamatan dan kesihatan hendaklah dipatuhi oleh semua masjid dan surau.
“Jabatan Mufti Negeri Melaka akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat
Islam di negeri ini dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat dan maklumat
daripada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri,” katanya.
Kerajaan Persekutuan semalam mengeluarkan arahan untuk melaksanakan PKPB di
seluruh semenanjung selama empat minggu bermula esok kecuali bagi Perlis,
Pahang dan Kelantan berikutan kes jangkitan Covid-19 yang dilihat semakin
meningkat kebelakangan ini.
Join our Telegram Channel