Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu tidak akan mampu
melangkah lebih jauh sekiranya kerjasama Dengan Umno dan Bersatu tidak
terjalin.
Dia berkata PAS, Umno dan Bersatu saling memerlukan antara satu sama lain.
"Pada padangan kita, kalau kita dengan Umno sahaja tak akan ke mana, kalau
dengan Bersatu saja pun tak akan sampai ke mana.
"Kita perlukan gabungan ketiga-tiga parti ini. Sebab itu pentingnya Muafakat
Nasional dan Perikatan Nasional. Ketiga-tiga parti ini ada kekuatan
tersendiri," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu,
hari ini.
Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian ketika
diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang kini dilihat
menimbulkan konflik di kalangan pimpinan Umno.
Annuar dilaporkan berkata PAS bertegas bahawa Umno mesti turut menjadi rakan
sekutu dengan Bersatu pada PRU akan datang.
Susulan itu beberapa pimpinan Umno antara naib presidennya, Mohamed Khaled
Nordin, tampil menyanggah kenyataan Annuar itu.
Khaled antara lain menyatakan keyakinan betapa PAS tidak akan memaksa Umno
supaya terima Bersatu.
Sementara itu Mohd Amar berkata, apa yang berlaku itu merupakan masalah
dalaman Umno yang perlu diselesaikan.
"Isu ini kalau kita tengok di media melibatkan kalangan Umno, kenyataan Annuar
dijawab oleh pimpinan Umno yang lain.
"Kita harap Umno boleh selesaikanlah, kami tak boleh nak campur (tangan), ini
masalah dalaman parti. Pandangan-pandangan dalam kalangan pimpinan Umno.
"Pandangan saya sepatutnya masing-masing duduk semeja dan tidak buat kenyataan
terbuka. Hari ini isu besarnya masing-masing buat kenyataan terbuka," katanya
yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor.
Tambahnya, berbeza pandangan itu perkara biasa, tetapi lebih baik duduk sekali
dan berbincang untuk mencari titik pertemuan.
Join our Telegram Channel