KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer terus menunjukkan sikap tidak
profesional apabila kembali ‘mengganggu’ perbahasan ahli Parlimen lain dalam
sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kali ini pemimpin DAP itu mengganggu Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib
yang baru memulakan perbahasannya mengenai Belanjawan 2021 sebagai Pengerusi
Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BN).
Bekas Perdana Menteri sebelum itu berkata, rakyat Sabah memerlukan bantuan
pada tahun depan sebab negeri itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) paling lama tempohnya dan paling terjejas dalam gelombang
ketiga penularan Covid-19.
Katanya, Sabah adalah kadar paling tinggi kemiskinannya dan bertambah teruk
pada zaman ‘gagalkrasi’ Pakatan Harapan (PH) di mana kadarnya turun daripada
8.2 peratus pada tahun 2017 ketika zaman Barisan Nasional dan paling tinggi di
antara negeri-negeri lain.
Rayer yang memohon mencelah meminta Najib menarik balik perkata ‘gagalkrasi’
kerana mendakwa tiada menteri dan ahli Parlimen PH yang ‘songlap’ RM42 juta
wang rakyat dan tidak membayar cukai pendapatan RM1.6 bilion.
“Itu perkara tidak betul dan kita banding dengan perkara 1MDB yang langsung
tidak didedahkan kepada rakyat,” katanya.
Keadaan itu menimbulkan kemarahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
(BN-Baling) sambil memberitahu semalam wakil kerajaan tidak menganggu
perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rayer sepatutnya
tidak menganggu perbahasan Najib.
Namun Rayer membalas; “Kenapa Baling (Abdul Azeez) berteriak, kami bukan pak
turut macam engkau orang.”
Kekecohan akhirnya dileraikan oleh Speaker, Datuk Azhar Harun yang kemudiannya
mengemukakan peraturan 36(6) di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat
Dewan Rakyat yang merujuk ‘seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan
jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.’
Jelas beliau, Najib tidak merujuk kepada sesiapa dalam perbahasannya itu dan
tidak bermaksud begitu.
ARTIKEL BERKAITAN: Lanjut moratorium, KWSP RM10,000 syarat BN sokong Belanjawan 2021
Please subscribe
Join our Telegram Channel