
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kenapa kerajaan ‘Double Standard’ dalam hal
melibatkan mengurangkan beban rakyat? Itu persoalan yang diutarakan oleh Naib
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Shukor.
Jelas beliau, sekiranya kerajaan mampu memberi suntikan dana melalui pinjaman
sebanyak RM1 bilion kepada Air Asia, mengapa rakyat tidak boleh mengeluarkan
wang mereka sendiri di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Sebenarnya rakyat faham berkaitan pengeluaran KWSP. Rakyat juga sedar bahawa
itu adalah simpanan hari tua dan kerana itu bukan semua wang tersebut hendak
dikeluarkan.
“Di kala negara dilanda pandemik Covid-19, ekonomi rakyat memang terhimpit.
Mungkin ramai pemimpin yang tidak merasa bagaimana kehidupan rakyat bawah B40
khususnya miskin tegar yang benar-benar terhimpit dan terpaksa ikat perut.
“Kerana itulah mereka merasakan bahawa pengeluaran wang KWSP ini mampu
membantu mereka bukan hanya untuk kehidupan harian tetapi juga untuk mereka
memulakan sesuatu yang lebih baik contohnya modal perniagaan bagi kelangsungan
hidup,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Amin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Damansara, walaupun kerajaan
telah memberi kemudahan pengeluaran caruman akaun dua KWSP sebanyak RM500
selama 12 bulan berkuat kuasa 1 April lalu bagi membantu meringankan beban
ditanggung rakyat namun ianya tidak mencukupi bagi sesetengah golongan.
“Idea pengeluaran KWSP ini sebenarnya boleh diperhalusi oleh kerajaan. Tidak
semestinya amaun RM10 ribu.. ianya boleh dikurangkan tetapi konsisten untuk
beberapa bulan. Contohnya RM1 ribu setiap bulan untuk tempoh 5 bulan.
“Sudah pasti keprihatinan kerajaan ini akan melegakan rakyat yang benar-benar
memerlukan, lagipun ini adalah wang rakyat… sekarang mereka memerlukan wang
tersebut jadi tolonglah pertimbangkan sebaiknya.
“Janganlah kera di hutan disusukan tetapi anak di rumah mati kelaparan,” bidas
beliau.
Amin turut mempersoalkan apakah kepentingan dan keutamaan Air Asia sehingga
masalah rakyat dikesampingkan.
Untuk rekod, AirAsia Group Bhd mendapat suntikan dana melalui pinjaman
sebanyak RM1 bilion (AS$242 juta) daripada kerajaan bagi membantu syarikat
penerbangan itu pulih dari kejatuhan disebabkan pandemik Covid-19.
Memetik laporan Nikkei Asia, berdasarkan sumber kementerian dan syarikat
penerbangan, kerajaan dikatakan sudah pun meluluskan pinjaman itu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, sukar bagi kerajaan
membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang
berdepan wabak Covid-19.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel