MUAR: Kerajaan memahami perit jerih dihadapi rakyat yang berhadapan impak
ekonomi akibat wabak COvid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap dan mendoakan pandemik COvid-19 akan
pulih seberapa segera bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang.
“Saya berharap dalam situasi sukar ini, kita boleh bertahan bersama-sama. Saya
tidak boleh menasihatkan rakyat untuk mengikat perut.
“Saya takut nak cakap sebenarnya, takut tersalah cakap. Saya tahu ramai di
luar sana yang mengalami kesusahan.
“Ada yang kata saya Perdana Menteri, tentulah dia boleh hidup tetapi yang di
bawah ini susah.
“Namun saya amat faham apa dialami rakyat dan kerajaan akan berusaha yang
terbaik bagi membantu rakyat yang terjejas.
“Tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri amat besar dan berat, namun saya
bersyukur dengan doa rakyat, saya mampu terus bekerja. Yang penting rakyat dan
kerajaan berganding bahu bagi mengekang wabak COvid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata,
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, dekat sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan akan mengambil
langkah tambahan sewajarnya dalam belanjawan yang akan dibentangkan 6 November
depan, sejajar usaha memulihkan kembali kehidupan rakyat.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin akan soal ini dan akan mengambil
langkah tambahan bagi membantu rakyat yang terhimpit kesan ekonomi.
“Sebelum ini sejumlah RM305 bilion sudah disalurkan dalam pelbagai pakej
rangsangan bantuan rakyat dan Belanjawan 2021 akan memberi lebih tumpuan dalam
usaha mengawal pandemik COvid-19 supaya tidak menular.
“Kerajaan akan terus menyediakan pakej rangsangan iaitu bantuan kepada rakyat
yang berdepan kesusahan kerana menyedari ada kumpulan rakyat yang terjejas
teruk.
Join our Telegram Channel