Semua pencarum KWSP terjejas boleh keluar dari Akaun 1 sehingga RM10k – Tengku Zafrul



KUALA LUMPUR Kerajaan bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan hingga RM10,000 daripada Akaun 1.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia akan memberi manfaat kepada lebih 8 juta ahli.

“Setelah berbincang dengan pengurusan KWSP pagi tadi suka cita dimaklumkan bahawa program i-Sinar dibuka dan diperluas kepada semua ahli yang terjejas pendapatan, tidak kira sama ada hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan. Ahli layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.

“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak, selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP.


“Daripada 2 juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih 8 juta ahli.

“Setiap ahli yang sebelum ini dibenarkan mengeluarkan sehingga RM9,000, kini boleh mengeluarkan sehingga RM10,000.
“Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP.

“Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri,” katanya merujuk kepada had pengeluaran i-Sinar yang dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Nov Tengku Zafrul berkata, pencarum dibenar mengeluarkan simpanan akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan dan dijangka meringankan beban kewangan 600,000 ahli yang terjejas.


Bagaimanapun pada 16 Nov Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias mengumumkan penambahbaikan dengan pencarum yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 sehingga RM60,000.

Katanya, bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 di bawah RM90,000 mempunyai akses kepada amaun pendahuluan sehingga RM9,000 dan bagi mereka yang mempunyai simpanan melebihi RM90,000 boleh mengeluarkan sehingga RM60,000.

Barisan Nasional (BN) meletakkan sokongan bersyarat terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dengan menuntut kerajaan meneruskan pemberian moratorium pinjaman secara automatik untuk semua kumpulan B40 dan M40 dan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Najib Razak menyatakan perkara itu ketika berbahas pada 10 Nov lalu bagi pihak BN.

Beliau berkata, lanjutan moratorium pinjaman secara automatik perlu diberikan sehingga 30 Jun 2021. – FMT





ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram