MARANG: Seorang pelajar perempuan tingkatan 6 yang disyaki terlibat dalam kes
bunuh Siti Nur Surya Ismail yang mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan pada
badan manakala tangan kirinya putus dalam kejadian di Lubuk Batu, Terlemong,
Ahad lepas, ditahan reman 7 hari.
Majisret Engku Nurul Ain Engku Muda hari ini membenarkan pelajar berusia 19
tahun, yang merupakan rakan sekolah mangsa sehingga tingkatan 5 itu direman
bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen
302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu, tiba di perkarangan mahkamah
pada pukul 10.10 pagi, kelihatan sugul dan menggigil, seolah-olah menahan
sebak, selain panik apabila dihampiri ramai jurugambar.
Pelajar berkenaan ditahan di Balai Polis Telemong pada pukul 8.15 pagi semalam
ketika tampil bersama ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian Ahad lepas, Siti Nur Surya, 19, yang menjaga ibunya yang
terlantar akibat sakit kanser otak tahap 3, ditemukan dalam keadaan tertiarap
di ruang tamu rumahnya.
Please subscribe
Join our Telegram Channel