Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar perlu membuat keputusan
berhubung untuk kembali memainkan peranan aktif dalam kepimpinan politik arus
perdana, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
Dengan kepimpinan Pakatan Harapan terjejas akibat perbalahan mengenai hala
tuju gabungan tersebut, gesaan supaya pemimpin muda tampil ke hadapan semakin
meningkat dan Izzah, antara nama yang disebut-sebut.
Perselisihan faham dengan Dr Mahathir
"Dia terpilih sebagai naib presiden semasa pemilihan parti (2018) dan, tentu
saja, ada beberapa perselisihan antara dia dan kerajaan PH, terutama dengan
bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mempengaruhi keputusannya
untuk mengundurkan diri sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
(PAC),” kata Saifuddin, lapor portal berita The Vibes.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata peranan Izzah dalam parti masih penting untuk
PKR.
Pada Disember 2018, Izzah turut mengundurkan diri sebagai naib presiden PKR,
iaitu sebulan selepas dia terpilih menyandang jawatan tersebut itu apabila
memperolei undian terbanyak dalam pemilihan parti.
Pada Julai lalu, MP Permatang Pauh berkata dia akan menjalankan tugasannya
untuk mengukuhkan parti dan jentera tetapi enggan membabitkan diri dengan
politik, mahupun terlibat dalam isu calon perdana menteri PH.
Sementara itu, ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, akar umbi PKR tidak
sabar untuk melihat Izzah kembali aktif.
"Saya secara peribadi menerima banyak permintaan dari orang ramai dan anggota
parti mengenai keperluan Nurul Izzah untuk kembali aktif dan tampil ke hadapan
serta memainkan peranan penting dalam parti berbanding apa yang dilakukannya
sekarang.
"Saya serahkan kepada kebijaksanaanya untuk memutuskan hala tujunya untuk
kembali dalam politik arus perdana.
“Saya tidak melihat Nurul Izzah seorang yang cuba melarikan diri. Dia terlibat
secara aktif di kawasan dan partinya," katanya.
Saifuddin berkata dia kini sedang mengadakan pertemuan mingguan dengan Izzah
mengenai persediaan parti untuk pilihan raya akan datang dan dia juga
bekerjasama dengan bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli tentang analisis data.
"Apa yang membuat PKR berbeza dari parti lain adalah kita selalu bersiap-siaga
untuk pilihan raya berdasarkan pangkalan data (sedia ada),” katanya.
Rafizi juga sebelum ini telah mengumumkan undur diri dari politik pada tahun
lalu dan memberitahu bahawa dia lebih berminat menumpukan perhatiannya
terhadap kemajuan teknologi.
Join our Telegram Channel