Di sebalik pengumuman daripada pemimpin Umno dan PH yang memberi bayangan
kemungkinan kerajaan baru ditubuhkan melibatkan kerjasama kedua-dua pihak,
nampaknya gabungan PN masih sedia berunding dengan Umno untuk mengekalkan
kerajaan sedia ada.
Menurut sumber dekat dengan bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu, gabungan
PN di Perak yang merangkumi 10 Adun termasuk PAS, Gerakan dan Bebas sedia
menyokong Umno untuk menerajui kerajaan negeri dengan syarat.
"Ya, setahu saya rundingan kami tidak terputus. Gabungan PN sedia kerjasama
dengan Umno dengan syarat Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya perlu dilantik
sebagai menteri besar yang baru.
"Ini selepas, PN Perak berasa kecewa dan mempercayai bahawa Pengerusi Umno
negeri Saarani Mohamad sebagai dalang di sebalik usul undi percaya terhadap
Faizal Azumu," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Tambahnya, perkara ini telah dibincangkan pada Sabtu lalu di Ipoh, Perak.
"PAS turut hadir perbincangkan tersebut. Secara umumnya, PN Perak mengambil
pendirian sedia menyokong Umno dengan syarat Shahrul adalah menteri besar,"
katanya lagi.
Namun, sumber itu mengakui tidak tahu perkembangan terbaru mengenai syarat
tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi Faizal untuk mendapatkan ulasan.
Selain Shahrul dan Saarani, bekas menteri besar Zambry Abdul Kadir (Adun
Pulau Pangkor) juga disebut-sebut sebagai calon menteri besar baru.
Sementara itu, Shahrul dalam kenyataan di Facebook berkata semua Adun Umno
mencalonkan Saarani sebagai menteri besar Perak.
"Kami semua Adun Umno telah secara konsensus mencalonkan Saarani, pengerusi
perhubungan Umno negeri Perak sebagai menteri besar Perak.
"Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa spekulasi lagi dan kita
serahkan kepada kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk
mempertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih menjadi
mb Perak.. in shaa Allah..," katanya dalam satu hantaran Facebook sebentar
tadi.
Dia menambah bahawa jawatan adalah satu pertanggungjawaban dan bukannya
perebutan.
Sebelum ini dilaporkan bahawa sebanyak 26 Adun telah menandatangani akuan
bersumpah (SD) menyokong Saarani sebagai menteri besar yang baru.
Sinar Harian melaporkan selain 25 Adun Umno, seorang Adun Bersatu
turut menyokong Saarani.
"Seorang Adun daripada Bersatu yang sebelum ini mengambil keputusan keluar
parti lama bagi menyokong pelantikan semula Faizal sewaktu 'Langkah
Sheraton', turut mengambil tindakan sama.
"Sebenarnya, kalau kita perolehi sokongan empat lagi Adun Bersatu termasuk
Ahmad sendiri, angka 30 Adun sudah memadai untuk Umno bersama Bersatu
membentuk kerajaan baru.
"Namun, baginda Tuanku Sultan Perak pastinya mahu kerajaan terbentuk lebih
stabil.
"Atas sebab itu, PAS perlu segera membuat keputusan sama ada menyokong
kerajaan baharu diterajui Umno atau tidak," tambah laporan itu lagi.
Faizal sebelum ini menjadi menteri besar Perak selepas PH menang di negeri
itu pada pilihan raya umum 2018.
Selepas 22 bukan memerintah negeri tersebut, Faizal yang juga Adun
Chenderiang membuat kerjasama dengan Umno dan PAS menubuhkan Kerajaan PN,
dan kembali menjadi menteri besar di bawah kerajaan negeri baru.
Bagaimanapun, dia disingkirkan sebagai menteri besar dalam satu usul undi
keyakinan yang dibawa oleh Adun Umno Pengakalan Baru, Abd Manaf Hashim pada
Jumaat lalu.
Timbalan Presiden Bersatu itu hanya meraih sokongan 10 Adun, manakala, 48
Adun tidak menyokong usul keyakinan itu.
Susulan itu, Umno yang menguasai 25 kerusi DUN disebut bakal menubuhkan
kerajaan baru. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kerajaan Bersatu Perak, Faizal Azumu tumbang lagi, MB tewas undi percaya
- Faizal akur kecundang, akan letak jawatan MB
- Faizal menghadap Sultan Perak janji tak akan bubar Dun
- Pas tidak mahu campur kerajaan baru Umno Perak
- Undi hanya untuk tolak MB, bukan tolak PN, Umno minta PAS, Bersatu kekal
- Khianat, gila kuasa, mungkin lepas ni Pas jadi mangsa Umno – Ahli MPT Bersatu
- Johor pun boleh tumbang, kata naib presiden
- 25 ADUN BN tandatangan SD sokong Saarani MB Perak baharu
- DAP Perak sedia kerjasama dengan Umno tubuh kerajaan baharu
- UMNO dijangka adakan mesyuarat tergempar malam ini, bincang politik Perak, kedudukan kerajaan Persekutuan
- PKR Perak sedia kerjasama dengan Umno tubuh kerajaan baharu
Join our Telegram Channel