ALOR SETAR: Selepas dua pemimpin partinya menyelar menteri besar Kedah,
Timbalan Presiden MIC M Saravanan tampil menuduh Muhammad Sanusi Md Nor
mungkir janji untuk tidak merobohkan kuil Hindu tanpa memaklumkan beliau dan
seorang menteri lain.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, Sanusi memberikan janji berkenaan kepada
beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Halimah Mohamed Sadique dalam
satu pertemuan Julai lalu.
“Jaminan itu diberikan bukan sahaja untuk kuil Hindu tetapi untuk semua rumah
ibadat bukan Islam, kata beliau.
“Justeru saya amat terkejut untuk mengetahui Menteri Besar berkenaan
memungkiri janji dan meneruskan perobohan kuil di negeri itu,” kata Saravanan
dalam satu kenyataan.
Semalam, Sanusi membidas pimpinan MIC Kedah kerana membantah perobohan kuil
Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, berusia lebih 50
tahun.
Beliau menyarankan MIC diharam jika ia menghasut rakyat dan memberi amaran
kepada parti komponen Barisan Nasional itu untuk “jangan celupar, jangan jadi
hero berdasarkan populariti,”.
Saravanan berkata, Sanusi tidak menepati janjinya dan ia mungkin membawa padah
kepada kerajaan.
“Ini (tindakan Sanusi) bercanggah dengan semangat kerajaan gabungan nasional
dan sebarang kemerosotan sokongan untuk kerajaan yang sedia ada di masa
hadapan akan dipertanggungjawabkan kepada … Menteri Besar Kedah,” kata beliau.
Saravanan berkata, Sanusi harus menjelaskan kenapa kuil itu dirobohkan tanpa
proses konsultasi sebagaimana yang dijanjikan beliau.
Semalam, Sanusi menegaskan tempat ibadat, seperti kuil, hanya boleh dibina
selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Katanya, jika masjid boleh dibina berdasarkan undang-undang dan keputusan
teliti dibuat majlis agama Islam negeri, dengan mengambil kira jumlah penganut
di sekitarnya, penganut agama lain juga perlu mematuhi undang-undang dalam
pembinaan tempat ibadat mereka.
“Mereka (MIC) tidak boleh bertindak menjadi pemimpin untuk mencari populariti.
Kalau orang yang hidup dalam politik berdasarkan populariti, ikut saja apa
kehendak orang ramai, melanggar undang-undang atau tidak, orang itu sebenarnya
tak patut jadi pemimpin,” ujar beliau.
Hubungan antara PAS dan MIC Kedah menjadi tegang baru-baru ini selepas
ketuanya di negeri itu, S Ananthan meminta BN “mengkaji semula” kerjasamanya
dengan parti Islam itu.
Ia selepas Ananthan mendakwa tiada peruntukan untuk tempat ibadat bukan Islam
dalam Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangkan Sanusi baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel