Video muzik Cik B trending nombor satu di YouTube



PETALING JAYA – Muzik video single pertama anak kepada jutawan kosmetik Datuk Seri Vida, Cik B berjudul Tolonglah yang dilancarkan pada 1 Disember lalu telah berjaya menjadi lagu trending nombor satu di YouTube hari ini.

Tinjauan Kosmo! setakat pada pukul 11.30 pagi tadi, lagu Tolonglah nyanyian Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edylynn Zamileen Muhammad Amin, 15, telah meraih sebanyak 653,128 tontonan.

Berita gembira berkeanaa turut dikongsi oleh Datuk Seri Vida menerusi akaun Instagram miliknya pagi tadi yang terharu dengan kejayaan single pertama Cik B.


“Cik B anak mama yang hebat! Cik B trending nombor satu dalam masa 24 jam!” ujar usahawan itu teruja.

Cik B yang berada di samping ibunya turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur kepada peminat yang memberikan sokongan terhadap permulaan karier nyanyiannya.

“Terima kasih semua yang telah mendengar lagu Cik B, yang telah menyukai lagu Cik B dan menyokong Cik B selama ini.


“Terima kasih telah membuatkan lagu Cik B trending nombor satu,” katanya.

Tolonglah merupakan lagu ciptaan komposer muda Yonnyboii, manakala liriknya pula ditulis Datuk Seri Vida dan Cik B.

Single berkenaan merupakan sebuah lagu tentang kehidupan sebenar Cik B yang harus melalui pelbagai cabaran semasa dibesarkan. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram