Annuar masih setia dengan UMNO, kata Shahril



PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yakin bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa tetap setia dengan parti itu.

“Benar, lewat ini Annuar Musa dilihat berlainan arus dan tegas dengan pendiriannya dalam beberapa hal yang kurang disenangi ramai dalam parti.

“Tetapi setakat hari ini, beliau masih orang UMNO dan saya yakin beliau kekal setia bersama parti walaupun tanpa jawatan pusat,” katanya di Facebook.

Beliau menyifatkan pengalaman dan kebijaksanaan Ahli Parlimen Ketereh itu dalam mengemudi beberapa pilihan raya kecil harus dihargai dan terus menjadi aset parti.


Berhubung laporan bahawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi melantik Setiausaha Agung parti Ahmad Maslan menggantikan Annuar bagi kedua-dua posisi berkenaan, Shahril berkata pertukaran jawatan SUA BN dan MN adalah hak presiden parti.

“Bagi saya ia tidak sedikitpun mengurangkan jasa Annuar kepada parti selama ini. Tidak wajar kita melupakan jasa tersebut malah Presiden sendiri mengungkapkan penghargaan beliau dalam ucapan tadi,” katanya.

Sementara itu, mengenai desas-desus UMNO akan keluar dari kerajaan dan mengarahkan Ahli Parlimennya menarik sokongan kepada PN, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti esok.

“MKT juga ambil maklum sentimen 140 bahagian yang membawa usul menolak kerjasama dengan PPBM dan pendirian mengenai perkara itu juga akan dibincangkan esok,” katanya.


Menyentuh hubungan antara UMNO dan PAS, Shahril berkata, pendirian parti kekal untuk mengukuhkan kerjasama dengan parti Islam itu.

“UMNO masih menaruh harapan untuk mengukuhkan kerjasama dengan PAS. Jika pertalian UMNO-PPBM terputus sekali pun, UMNO tidak akan membelakangkan persahabatan MN yang telah terbentuk,” jelasnya.

Terdahulu, Annuar dilaporkan dipecat sebagai setiausaha agung BN serta wakil UMNO dalam sekretariat MN, digantikan dengan Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan.

Annuar yang dilihat mesra PN dan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin kerap menghadapi kritikan pemimpin UMNO tertentu yang melihat beliau semakin cenderung mempertahankan PN dan mengabaikan kepentingan UMNO. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram