GEORGETOWN - Pengurusan Hotel Equatorial Pulau Pinang mengumumkan
pemberhentian operasi hotel terkemuka bertaraf lima bintang tersebut bermula
pada 31 Mac ini setelah beroperasi sejak tiga dekat lalu.
Penutupan hotel tersebut disahkan melalui sepucuk surat yang ditandatangani
oleh pengurus besarnya, Alan HC Ong yang tular di media sosial sejak Selasa.
Menurut kandungan surat tersebut, pemberhentian operasi hotel berkenaan dibuat
selepas mengambil kira keadaan perniagaan yang dihadapi oleh pihak pengurusan
susulan penularan wabak Covid-19.
"Pengumuman ini adalah satu berita yang sukar, namun keadaan perniagaan
semakin meruncing akibat Covid-19. Tarikh beroperasi untuk orang ramai belum
diputuskan, namun ia sebelum 31 Mac.
"Pada waktu ini sehingga secara rasminya operasi hotel ditutup, semua pekerja
masih berstatus pekerja (hotel) dan semua warga hotel akan tetap komited untuk
menjaga nama hotel yang sangat terkenal ini," katanya.
Menurut surat itu lagi, walaupun pihak pengurusan mengalami kerugian, faedah
pesara kepada pekerja hotel tetap akan dibayar, namun perinciannya akan
diumumkan kemudian.
"Pihak pengurusan berusaha untuk mematuhi semua tanggungjawabnya kepada semua
pekerja yang terkesan, bersesuaian dengan terma dan syarat pekerjaan mereka,"
katanya.
Hotel Equatorial merupakan hotel pertama yang akan menamatkan operasinya
selepas tiga buah hotel di Pulau Pinang mengambil tindakan sama pada tahun
lalu susulan penularan wabak Covid-19.
Hotel yang terletak di Bukit Jambul itu mempunyai 662 bilik dan merupakan
hotel lima bintang pertama yang terletak di selatan Pulau Pinang.
Sementara itu, salah seorang pekerja hotel tersebut yang hanya mahu dikenali
sebagai Nina berkata, dia dan rakan sekerjanya perlu menerima keputusan
tersebut walaupun ia agak berat untuk dihadapi.
Join our Telegram Channel