MELAKA - Kerajaan negeri kesal sekiranya benar berlaku dakwaan kegiatan ritual
atau pemujaan ajaran sesat 'Islam Melayu' di Pulau Besar.
Penasihat Agama Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek berkata, pihaknya tidak
menyangka dakwaan ajaran berkenaan aktif semula dengan mengaitkan 'pulau
keramat' itu sebagai lokasi acara ritual oleh kumpulan ajaran sesat berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa membuat
pemantauan di pulau berkenaan bagi menggelakkan berlaku perkara khurafat dan
sebagainya manakala Jabatan Mufti juga sedang menyiasat kebenaran video tular
tersebut.
"Sekiranya video yang ditularkan itu bertujuan untuk memperingatkan mengenai
ajaran sesat itu ia sewajarnya disokong, namun apabila ia turut mengaitkan
Pulau Besar maka kita perlu memandang serius perkara ini.
"Kita juga juga menyokong dan memandang positif nasihat yang diberikan oleh
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan agar
orang ramai agar tidak terpengaruh dengan kelahiran agama baharu yang dikenali
sebagai 'Agama Melayu' itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook, video berdurasi 8.05 minit yang
menceritakan mengenai ajaran sesat itu selain memaparkan acara ritual yang
didakwa berlaku di Pulau Besar.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azahan Md
Samat berkata, ajaran sesat berkenan dalam perhatian pihaknya dan JAIM sedang
bekerjasama dengan jabatan agama di negeri lain untuk membantu siasatan
sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Menurutnya, difahamkan kumpulan terbabit aktif di luar Melaka dan hanya
sesekali datang ke Pulau Besar untuk melakukan upacara tertentu.
"Pemantauan berkala yang kami lakukan di Pulau Besar tidak pernah berjumpa
dengan kumpulan ini dan mereka dipercayai datang ke Pulau Besar sekali sekala.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel