MELAKA - Kehadiran sebuah ambulans di hadapan rumah disangka jirannya
positif Covid-19, namun terkejut apabila dimaklumkan anak jirannya meninggal
dunia akibat lemas di dalam tong.
Wanita yang hanya mahu dikenali Kak Aish, 47, berkata, dia bukan sahaja
terkejut malah sedih mengenangkan mangsa berusia tujuh tahun sering
termenung di luar rumah.
Menurutnya, dia yang berpindah di taman berkenaan pada tahun 2018 dari Kuala
Lumpur, mengakui ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki malang tersebut
jarang bergaul dengan jiran tetangga yang lain dan sebelum ini sering
melihat wanita itu keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah
berhampiran.
Namun katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dia tidak lagi
melihat wanita itu keluar bekerja dan ada kalanya kanak-kanak lelaki itu
berada di pekarangan rumah bersama dua adiknya.
"Semalam (Jumaat) memang saya nampak ambulans, kemudian suami saya
bertanyakan kepada suami wanita itu, dan dia memaklumkan anaknya meninggal
dunia kerana lemas di dalam tong.
"Tapi bila lihat tong berwarna biru dan mayat kanak-kanak itu diusung keluar
dari rumah mereka saya sebak dan pilu," katanya ketika ditemui di sini pada
Sabtu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari
selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga
meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pihak polis menerima panggilan
daripada bapa tiri mangsa yang anaknya itu lemas di dalam tong air setinggi
60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Seorang lagi jiran berusia 43 tahun mendakwa dia kerap mendengar tangisan
kanak-kanak dari rumah jirannya itu namun tidak mengesyaki apa-apa
memandangkan dia juga mempunyai anak kecil dan menganggap tabiat (menangis)
itu biasa.
"Namun bila nampak ambulans datang, saya terus bergegas ke luar rumah dan
diberitahu oleh ayah tiri mangsa bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat
lemas manakala ibu mangsa duduk di atas sofa dan menangis.
"Bila tanya pada pasukan paramedik apa berlaku, salah seorang daripada
mereka maklumkan kanak-kanak itu sebenarnya telah lama meninggal dunia,"
katanya sedih.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah mangsa mendapati rumah teres
dua tingkat itu telah diletakkan pita kuning polis dan terdapat sebuah
kereta Perodua Kancil berwarna putih selain sebuah lori tiga tan yang
diletakkan di hadapan dipercayai milik bapa tiri mangsa. – Sinar
ARTIKEL BERKAITAN:
- Mati didera, ibu, bapa tiri lapor konon anak lemas
- [Video] Kalau tahu saya tak serah kepada ibu kandung dia
- Jiran kerap dengar tangisan kanak-kanak sebelum mati didera
- Ibu kandung arwah adik Amir ada masalah mental, dedah kawan
- Mahu tuntut jasad adik Amir, keluarga angkat terkilan dengan layanan pihak sana
- Ibu kandung arwah Amir bukan pesakit mental – Polis
- Suasana pilu di Hospital Melaka tunggu bedah siasat arwah adik Amir
- Banyak kecederaan baru dan lama, Amir meninggal anggaran 2 jam, bukan 2 hari – Polis
- Amir dikebumikan di Jasin Melaka
- Bapa tiri Amir pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan memukul isteri
Join our Telegram Channel