Tun Salleh Abas sempat bersihkan nama Sultan Iskandar Johor dari fitnah Dr M



PEMERGIAN TUN SALLEH ABAS: KEZALIMAN YANG BELUM TERBELA DAN PENGHARAPAN YANG BELUM TERTUNAI

Masih saya ingat lagi bagaimana, setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri mengumumkan di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur, pada 17 April 2008 bahawa Kerajaan Malaysia akan memberi bayaran ex gratia kepada Tun Salleh Abas atas pemecatan beliau sebagai Ketua Hakim Negara oleh pentadbiran zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Ogos 1988, saya telah menemui Tun Salleh Abas di Hilton Hotel, Petaling Jaya, pada 7 Mei 2008 bagi merundingkan mengenai bayaran ex gratia tersebut.

Tun Salleh Abas waktu itu bertegas tidak akan menerima sebarang bayaran melainkan ia disertai oleh permohonan maaf daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau sifatkan bertanggungjawab penuh ke atas pemecatan beliau atau, jika ini tidak dapat dilakukan, oleh penubuhan suruhanjaya bebas bagi mengkaji keabsahan pemecatan beliau dengan menyebut bahawa jika bukti baru diperlukan oleh kerajaan beliau sedia menyerahkan satu bukti yang beliau tidak pernah keluarkan demi menjaga hati pihak tertentu.

Ketegasan ini Tun Salleh Abas tunjukkan dalam satu surat rasmi peguam beliau menyebabkan Menteri Undang-Undang waktu itu merasa teramat marah sekali serta langsung tidak mahu melayan lagi sebarang permintaan daripada pihak Tun Salleh Abas serta mengharamkan mana-mana pegawai beliau daripada bertemu beliau, tetapi larangan ini saya tidak patuhi dalam mana saya senyap-senyap menemui dan memujuk beliau supaya menerima sahaja bayaran ex gratia tersebut kerana itulah yang terbaik boleh dilakukan waktu itu.


Alhamdulillah, Tun Salleh Abas akhirnya lembut hati dan bersetuju menerima bayaran ex gratia tersebut selain bersetuju memujuk lima rakan atau waris rakan beliau yang lain, iaitu Datuk George Seah, Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh dan Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, untuk turut menerima bayaran ex gratia tersebut yang menggembirakan Menteri Undang-Undang yang akhirnya turun padang dan pergi sendiri ke kediaman mereka untuk menyampaikannya.

Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam pada itu, berang dengan bayaran ex gratia tersebut dan secara tiba-tiba sahaja mendedahkan kepada dunia melalui blog beliau, Che Det, pada 6 Jun 2008 bahawa pemecatan Tun Salleh Abas sebenarnya bukan berpunca daripada beliau, tetapi adalah berpunca daripada Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Iskandar, yang tidak puas hati atas tindakan Tun Salleh Abas mengadu kepada Baginda dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda.

Dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam salah satu daripada mesyuarat mingguan beliau dengan Almarhum Sultan Iskandar, Baginda telah menyatakan ketidak puasan hati Baginda terhadap tindakan Tun Salleh Abas mengadu kepada Baginda dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda (selain satu aduan lain mengenai serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap badan kehakiman) dan meminta beliau menyingkir Tun Salleh Abas daripada jawatan Ketua Hakim Negara.


Fakta-fakta yang ada ialah penggantungan jawatan Tun Salleh Abas (26 Mei 1988) berlaku tiga hari selepas beliau mengarahkan kes rayuan pengharaman UMNO didengar oleh koram penuh Mahkamah Agung (23 Mei 1988), pembatalan arahan Tun Salleh Abas di dalam kes rayuan pengharaman UMNO dibuat hari sama dengan penggantungan jawatan beliau (26 Mei 1988), dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyebut kepada beliau mengenai pendirian berat sebelah beliau dalam kes rayuan pengharaman UMNO (27 Mei 1988).

Begitupun, Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam tulisan beliau ini dan di dalam memoir beliau, menafikan bahawa pemecatan Tun Salleh Abas adalah berpunca daripada ketidak puasan hati beliau terhadap tindakan Tun Salleh Abas mengarahkan kes rayuan pengharaman UMNO didengar oleh koram penuh Mahkamah Agung di samping menegaskan bahawa ia adalah berpunca daripada ketidak puasan hati Almarhum Sultan Iskandar terhadap aduan Tun Salleh Abas berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda.

Saya sendiri banyak kali menanyakan Tun Salleh Abas mengenai surat beliau kepada Almarhum Sultan Iskandar dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda tetapi beliau berkali-kali juga menafikannya, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula, walaupun menyebut di dalam memoir beliau bahawa beliau sedia bersumpah dengan menjunjung al-Qur'an bahawa surat inilah yang menjadi punca pemecatan Tun Salleh Abas, tidak pula pernah menunaikan sumpah ini walaupun dicabar.


Pemergian Tun Salleh Abas hari ini segera mengingatkan saya mengenai pengharapan beliau agar Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada beliau kerana memecat beliau dan agar ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji keabsahan pemecatan beliau tetapi, mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah hampir mustahil untuk kita mengharapkan beliau berbuat demikian menjadikan satu cara lain perlu difikirkan bagi membersihkan dengan sepenuhnya nama beliau, termasuk kemungkinan penubuhan suruhanjaya bebas.

Pada 26 Julai 2008, Panel Tokoh-Tokoh Terkemuka Untuk Mengkaji Semula Krisis Badan Kehakiman 1988 Di Malaysia merumuskan: “Bukan sahaja Tun Salleh tidak bersalah sedikit pun dan tiada sebarang tuduhan terhadapnya mempunyai asas, tetapi sebenarnya Tun Salleh telah menjalankan kewajipan perlembagaannya untuk menjunjung dan melindungi doktrin pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang demi kepentingan negara yang lebih besar. Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan, ialah pemecatan Tun Salleh adalah non est.”

Begitupun, perlu diingat bahawa Panel Tokoh-Tokoh Terkemuka yang dipengerusikan oleh Bekas Ketua Hakim Negara India, Hakim (Bersara) Mr. J.S. Verma serta dianggotai oleh Hakim (Bersara) Mr. Fakhruddin G Ebrahim, Dr. Pn. Asma Jahangir, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Mr. Gordon Hughes dan Dato’ W.S.W. (Bill) Davidson adalah ditubuhkan bukan atas inisiatif pihak kerajaan, tetapi atas inisiatif Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Antarabangsa, Lawasia dan Transparency International-Malaysia.


Agak penting juga ialah pembersihan nama Tun Salleh Abas ini akan membawa bersamanya pembersihan nama Almarhum Sultan Iskandar sebagai dalang pemecatan beliau, apa lagi bila asas yang sering digunakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memalitkan nama Almarhum Sultan Iskandar kelihatan terlalu dangkal, iaitu kerana Baginda kononnya tidak berpuas hati dengan tindakan Tun Salleh Abas mengadu kepada Baginda dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda.

Sebab itulah, bila Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaan ini di dalam memoir beliau, seorang penulis, Ahmad Lufti Othman, menyebut di dalam rencana beliau bertajuk “Menyanggah Memoir Mahathir” pada 8 Mac 2011 bahawa: “Jelas ia satu pembohongan. Kalaupun Agong murka dengan Tun Salleh atas alasan peribadi, Perdana Menteri bertanggungjawab menasihati Baginda bahawa kes sekecil itu langsung tidak membabitkan salahlaku kehakiman sehingga memerlukan penggantungan dan penubuhan tribunal.”

Begitulah juga bila Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaan ini sambil menyebut beliau sedia bersumpah mengenainya ketika berucap di Cooler Lumpur Festival pada 13 Jun 2015, anakanda Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Abdul Majid Idris, menulis di laman Facebook beliau: “Mahathir, please don’t blame people who can’t defend themselves anymore,” dan: “Mahathir used my father to remove Tun Salleh, period. Tun Salleh is a good man and my father acknowledged that. He has already made his peace with Tun Salleh.”

Sesungguhnya pemergian Tun Salleh Abas pada hari ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara kerana, selain pelbagai jasa besar beliau atas pelbagai kapasiti kepada agama, bangsa dan negara, beliau adalah simbol terbesar kepada segala kezaliman yang menghantui negara ini sejak sekian lama, bayangkanlah sahaja apa yang akan berlaku kepada negara kita jika Tun Salleh Abas tidak dipecat dan kes rayuan pengharaman UMNO benar-benar didengar oleh koram penuh Mahkamah Agung yang diketuai oleh beliau hari itu.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Almarhum dan semoga Allah memakbulkan pengharapan Almarhum yang belum tertunai supaya nama Almarhum dibersihkan.

Dr Kamarul Yusoff

 

Join our Telegram Channel
Telegram