Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
Sultan Ahmad Shah bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat
berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda
atas nasihat perdana menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil
Shamsuddin memaklumkan perkara ini pada satu kenyataan hari ini.
"Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat
(KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil,
diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai
oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.
"Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan
proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
"Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat
perdana menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari
2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak
Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini," kata kenyataan
Istana Negara.
Ahmad Fadil Shamsuddin turut memaklumkan terdahulu Seri Paduka Baginda telah
berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator Dr Rais Yatim dan
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.
"Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa
Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang
berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara
sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun parlimen haruslah sentiasa akur
kepada prinsip tersebut," kata kenyataan Istana Negara.
Join our Telegram Channel