ADA pihak yang tidak senang dengan berita mengenai pendakwah Islam Ebit Lew
membantu masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah menjadi muslim dan mengenal
Tuhan secara beramai-ramai.
Di Twitter, ada individu yang mendakwa bahawa Ebit menggunakan pendekatan ‘aku
beri kau makanan dan kau perlu masuk Islam’.
Dia mempersoalkan nilai pengajaran dan unsur kemanusiaan yang disampaikan oleh
Ebit.
“Syabas Ebit! Sistem barter yang terbaik. Mangsa banjir – saya
memberikan makanan kepada anda tetapi anda perlu menjadi Islam.
“Apakah nilai pengajaran dan kemanusiaan ini? Pengalaman bermakna, jangan
mempercayai mana-mana misionaris atau pendakwa. Layanan tidak beretika dalam
perdagangan kepercayaan dan identiti anda,” kata individu terbabit.
Dia bukan satu-satunya yang menuduh kononnya Ebit menjadikan bantuan
kemanusiaan untuk menukarkan agama pihak yang dibantu.
Seorang wanita tanpa menyebut nama Ebit berkata, tindakan menukar agama
individu dan masyarakat lain melalui bantuan kebajikan adalah tindakan hina.
Dia malah menuduh melalui penjajahan negara lain, mubaligh agama Kristian dari
Barat pernah melakukan strategi yang sama.
“Tindakan menukar sekumpulan orang yang berada dalam kesusahan sebagai
pertukaran pertolongan adalah hina tanpa mengira penyebar agama. Mubaligh
Kristian hina dalam hal ini, seiring dengan misi penjajah,” katanya.
Seorang lagi pengguna Twitter turut mengecam Ebit. Beliau tidak faham
bagaimana menolong kaum Bajau Laut menjadi Islam dapat membantu masyarakat
tersebut.
Beliau merasakan tindakan Ebit tidak memberikan maklumat dan pendidikan kepada
masyarakat berkenaan sebelum membantu mereka menjadi Islam adalah tidak tepat.
“Juga, perkara dengan E*it L*w. Ia meninggalkan rasa tidak sedap pada perasaan
saya. Bagaimana menukar agama orang yang memerlukan bantuan mengubah kehidupan
mereka menjadi lebih baik? Kerana saya belajar menyembah Tuhan hari ini, saya
akan kenyang dan tidur lena di bawah bumbung esok? Tolonglah.
“Tidak kira agama apa itu; Saya tidak merasakan bahawa menukar orang yang
tidak diberi maklumat / berpendidikan adalah betul.
“Saya tidak merasakan bahawa menukar orang yang terdesak untuk bertahan adalah
betul. Ini tidak adil bagi mereka, walaupun mereka tidak memikirkannya seperti
itu,” katanya.
Seorang individu yang merupakan wartawan kontroversi turut melontarkan
pandangan secara sinis.
Lelaki tersebut mendakwa apa yang dilakukan oleh Ebit merupakan kaedah yang
digunakan oleh kumpulan pendakwa moden.
“ICYMI (sekiranya anda terlepas) pertunjukan evangelisme dan mubaligh moden:
Ebit Lew, seorang pendakwah Muslim yang telah disambut sebagai wira selama
bertahun-tahun kerana tindak balasnya yang cepat kepada orang miskin,
mendedahkan bahawa dia telah menukar beratus-ratus orang gipsi laut asli
(termasuk di bawah umur) setelah menghulurkan sedikit bantuan.
“Untuk konteks, di Malaysia, umat Islam bebas berdakwah dan menukarkan agama
orang lain, tetapi jelas dilarang dan salah dari segi undang-undang bagi orang
lain untuk melakukannya kepada orang Islam,” kata wartawan beragama Islam di
Twitter peribadinya.
Sebelum ini Ebit di Facebooknya berkongsi pengalamanya membantu sekumpulan 157
masyarakat Bajau Laut yang tidak mempunyai pegangan apa-apa agama memeluk
Islam.
Kumpulan tersebut memeluk Islam selepas bertanya mengenai kewujudan Tuhan
kepada pendakwah Islam tersebut yang hadir memberikan bantuan kepada merka.
Semalam Ebit turut berkongsi pengalamannya membantu 490 lagi kaum Bajau Laut
di empat perkampungan menjadi muslim ketika menghulurkan bantuan kepada
mereka.
“Melihat hidup mereka hidup atas air. Ada atas bot. Hidup atas air sepenuhnya.
Sekali-sekala ke darat. Mereka tiada agama. Sampai mereka bertanya tentang
tuhan. Kami tidak tahu tentang tuhan.
“Mereka dengan rela hati ingin memeluk Islam. Sayu dengar mereka mengucap
syahadah,” kata Ebit Lew.
Ebit yang juga ahli perniagaan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan
tanpa menghiraukan pegangan agama atau perilaku kumpulan masyarakat tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Ebit Lew beli 100 tab untuk pelajar yang memerlukan
- Ebit Lew pasang internet di Lahad Datu
- Ebit Lew mulakan misi 10 hari hantar bantuan di Sabah
- Siapa Tuhan? Tuhan tu apa? Ebit Lew Islamkan lebih 150 suku Bajau Laut
- Ebit Lew dikecam tukar bantuan dengan masuk Islam
- Ebit Lew tak dibenar teruskan bantuan di pulau Lahad Datu
- Program Ebit Lew dihentikan atas faktor keselamatan
Join our Telegram Channel