PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan
pemberian komputer riba kepada 150,000 pelajar adalah sekadar satu pinjaman.
Najib dalam kenyataan semalam meluahkan sedih dan kecewa apabila menerima
berita bahawa 150,000 komputer riba yang dijanjikan di dalam Belanjawan 2021
itu hanyalah dalam bentuk pinjaman.
“Rupanya "pemberian" 150,000 komputer riba seperti diumum kerajaan PN dalam
bajet 2021 bukan pemberian tetapi adalah skim pinjaman seperti skim pinjaman
buku teks sekolah.” katanya.
Najib juga mendedahkan pelajar perlu memulangkan komputer riba tersebut sama
seperti sistem yang diguna pakai untuk buku teks sekolah selain hanya layak
untuk pelajar di beberapa negeri sahaja, buka untuk pelajar di seluruh
Malaysia.
Malah pelajar atau ibu bapa akan dikenakan denda RM300 jika komputer riba
tersebut hilang atau rosak.
“Komputer tetap milik kerajaan dan denda RM300 akan dikenakan jika komputer
hilang atau rosak.
“Ianya juga terhad kepada Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan,
Sabah, dan Sarawak sahaja.” dedah Najib.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata sewaktu Barisan Nasional menjadi kerajaan,
gabungan parti itu telah memperuntukkan 1.7 juta komputer riba untuk
diberikan secara percuma, bukan dipinjam kepada pelajar dan guru-guru
sekolah.
Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan tidak meneliti cadangannya yang
membolehkan pemberian komputer riba sebanyak 2 juta unit dapat disalurkan
kepada pelajar secara percuma.
“Jika dulu kerajaan BN mampu beri (bukan pinjam) 1.7 juta netbook 1Malaysia
kepada murid-murid sekolah dan guru, kenapa kerajaan PN tak gunakan kaedah
yang saya saran hari itu untuk memberi 2 juta notebook kepada murid-murid
sekolah untuk menghadapi pembelajaran atas talian dalam pandemik Covid ini?”
soal Najib.
Sebelum ini Najib menjelaskan kerajaan Barisan Nasional telah mewujudkan
Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi.
Semua syarikat telco besar di dalam negara diarahkan menyumbang sekitar RM2
bilion setiap tahun kepada tabung tersebut dan sebanyak RM8 bilion telah
ditinggalkan oleh kerajaan BN dalam tabung tesebut semasa Pilihan Raya Umum
ke-14.
Najib mencadangkan agar dana dari tabung tersebut digunakan untuk memberi
bukan sahaja 2 juta komputer riba, malah bersama dengan pakej internet
percuma kepada pelajar-pelajar yang terpaksa menjalani Pengajaran dan
Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid.
“Syarikat-syarikat telco juga tidak akan membantah kuat sebab mereka
berpeluang menaikkan pendapatan dengan tambahan 2 juta pelanggan pakej
internet yang diberi bersama komputer.” tambah Najib lagi.
Pada 6 Nov lepas, seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis
dilaporkan akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran
dalam talian.
Bagi merealisasikan bantuan berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan
syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang
akan disalurkan ke Tabung Cerdik.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku
Abdul Aziz juga berkata, bagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT)
yang mendapat Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), kerajaan
akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan RM100
juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman
komputer riba. – FMT / Cinca
Join our Telegram Channel