GEORGE TOWN: Jawatankuasa yang menguruskan flat dianggap paling kotor di
Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa membelanjakan kira-kira RM1 juta supaya
penghuninya boleh tinggal dalam persekitaran lebih bersih.
Anparasan Selvadurai, setiausaha badan pengurusan Flat Teluk Indah berkata,
jumlah itu adalah paling minima diperlukan untuk memperbaiki keadaan di dua
blok flat 21 tingkat di Perai itu.
“Kami tinggal di ‘neraka’ sejak lima tahun lalu,” kata Anparasan kepada FMT.
Dia mencadangkan pemasangan:
- Sistem kad akses hanya membenarkan kemasukan penghuni yang membayar yuran penyelenggaraan;
- Kamera litar tertutup (CCTV) di 32 lokasi strategik;
- Jaring di setiap tingkat untuk menghalang pembuangan sampah; dan
- Dua pam air untuk menggantikan pam yang sering rosak.
Cadangan itu dikemukakan sendiri oleh Anparasan, yang secara sukarela
memegang jawatannya kerana tiada penghuni lain sudi.
Dia juga mencadangkan semua enam lif, yang sering rosak, diperbaiki secara
tetap. Semua lif itu tidak berfungsi semalam.
Penduduk “nakal” terus mencampak sampah ke kawasan konkrit di antara dua
blok tersebut. Beg plastik sampah itu akan pecah dan bau busuk daripadanya
mencemarkan udara.
Penghuni flat itu berkata, sekali sekala sebungkus sampah akan “jatuh dari
langit”, terutama pada tengah malam. Terdapat juga botol kaca dan
kadang-kadang almari kayu.
Penghuni memberi amaran kepada wartawan FMT supaya tidak berada lama di
koridor kerana kebocoran daripada sampah yang jatuh sering terpercik kepada
orang yang lalu-lalang.
“Baunya sangat busuk, terutama apabila panas,” kata pekerja kilang, Ashikin,
yang berjalan turun dari tingkat 12 kerana lif tidak berfungsi.
Rajes, yang menjual sayur-sayuran di lobi lif berkata, beg sampah
kadang-kadang “mendarat seperti bom” pada tengah malam, mengejutkan penghuni
flat.
Pekerja pembersihan yang diupah oleh pihak pengurusan sering merasa seperti
berada dalam sebuah episod “Fear Factor”, apabila mereka perlu bertukar
menjadi “stuntman”, berebut-rebut mengutip sampah sebelum ada yang mendarat
di atas kepala mereka. Mereka menceritakan satu insiden di mana seorang
pekerja pembersihan terpaksa dibawa ke hospital selepas dihempap sebungkus
kulit durian.
Terdapat juga seorang pekerja pembersihan yang lengannya membengkak sejam
selepas mengutip sampah, disyaki akibat jangkitan bakteria.
Anparasan berkata, dia sendiri pernah membawa beberapa pekerja pembersihan
ke klinik beberapa kali.
“Kami cuba hampir semuanya, tetapi tiada yang berhasil,” katanya.
“Malah kami meletakkan tong sampah besar untuk penghuni dan meminta semua
orang meninggalkan sampah mereka di lobi lif, bukannya mencampak ke bawah.
Namun, tiada siapa pun mendengar (permintaan kami).”
Anparasan menjalankan kelas tuisyen, tetapi tugasnya di bangunan itu
termasuk mengaktifkan secara manual pam yang membekalkan air ke tingkat
lebih tinggi.
Dia bercerita tentang menjadi tukang paip walaupun pada hari bapanya
meninggal dunia, kira-kira dua minggu lalu. Seseorang mencuri alat yang
menghentikan air daripada melimpah dari tangki pusat, lalu air
mencurah-curah seperti air terjun ke lantai yang dipenuhi sampah di bawah.
Katanya, lif tidak diperiksa dan diperbaiki secara berkala kerana
jawatankuasa tidak mampu membayar yuran penyelenggaraan dalam tempoh enam
bulan berturut-turut.
Kekurangan dana berpunca daripada keengganan pemilik flat untuk membayar
RM30 sebagai bayaran penyelenggaraan bulanan, katanya.
Hanya 30% daripada 1,008 unit berpenghuni dan separuh daripadanya disewakan
kepada warga asing.
Anparasan berkata, banyak sesi pembersihan gotong-royong diadakan tetapi
keadaan akan kembali kepada asal tidak lama selepas itu.
Katanya, jawatankuasa itu sekarang mempunyai RM271 dalam akaun dan
menyimpannya untuk gaji pekerja pembersihan. Selalunya, kata Anparasan, dia
akan membayar gaji pekerja tersebut menggunakan wangnya sendiri.
Dia mengakui jawatankuasa tersebut sudah bertahun-tahun menerima dana
daripada kerajaan Pulau Pinang, tetapi ia hanya cukup untuk membaiki
kerosakan kecil.
Hanya penyelesaian jangka panjang yang dapat menyediakan persekitaran yang
bersih untuk penghuni flat itu, katanya.
Katanya, bil air terkumpul untuk flat itu mencecah RM1.5 juta manakala bil
elektrik tertunggak sebanyak RM500,000, dan dia meminta penyelesaian
daripada pihak berkuasa.
Datuk Bandar Seberang Perai Rozali Mohamud berkata, majlis bandaraya
berulang kali menghantar kru pembersihan “bersenjatakan” hos pemadam api
untuk membersihkan kawasan itu – kali terakhir pada 22 Jan. Dalam masa tiga
hari, kawasan itu kembali kotor, menurut Rozali.
“Sejak 2014, kami telah menghantar kru untuk membersihkannya setiap tiga
bulan sekali,” kata beliau.
“Malah kerajaan negeri menjelaskan hutang bil elektrik sebanyak RM1 juta
beberapa tahun lalu.”
Sementara itu, seorang pegawai kerajaan negeri berkata, kerajaan Pulau
Pinang sudah beberapa tahun membantu penduduk flat berkenaan dengan
membiayai pembaikan lif, menghulurkan bantuan dan kini cuba menyelesaikan
tunggakan bil elektrik.
Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto pula berkata, pejabatnya akan cuba
mendapatkan dana daripada kerajaan negeri dan persekutuan untuk menambah
baik kemudahan serta infrastruktur di situ. – FMT
![]() |
Penghuni berkata, beg sampah akan “mendarat seperti bom” pada tengah malam. |
![]() |
Semua enam lif di flat itu tidak berfungsi. |
![]() |
Motosikal yang diletakkan di luar Flat Teluk Indah, Perai, Pulau Pinang. |
Join our Telegram Channel