Kuala Lumpur: "Kalau mahkamah syariah mendapati pernikahan itu sah, pasangan
terbabit perlu mendaftarkan perkahwinan dan membayar denda, jika tidak sah,
perkahwinan itu terbatal," kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pernikahan menggunakan
jurunikah tanpa tauliah yang dibongkar Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais
apabila menahan seorang bekas kakitangan awam di sebuah premis di Puncak Alam
Shah Alam, Khamis lalu.
Mohd Shahzihan berkata, lebih 100 pasangan dinikahkan menggunakan khidmat
jurunikah tidak bertauliah itu sejak lebih sebulan lalu diminta tampil segera
ke Jais untuk membantu siasatan berkaitan perkara itu.
Menurutnya, pihaknya perlu menjalankan siasatan terhadap semua pasangan itu
dan mengambil keterangan mereka yang terbabit bagi menentukan sama ada
pernikahan dijalankan sah dari segi syarak atau pun sebaliknya.
Katanya, sekiranya didapati pernikahan mereka tidak sah, mereka perlu
melakukan proses selanjutnya sama ada bernikah semula atau perlu mengambil
tindakan lain.
"Jais melihat kepada dua elemen iaitu perundangan dan juga penentuan hukum.
"Ini yang kita perlukan mereka tampil. Kita perlu siasat dengan teliti kerana
ia membabitkan hukum, bukan boleh main-main," katanya ketika dihubungi,
semalam.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya memerlukan kerjasama segera daripada
semua yang terbabit untuk meneruskan siasatan.
"Nikah sindiket seperti ini macam yang kita ketahui tidak sama seperti
jurunikah bertauliah, ada kemungkinan maklumat diberi tidak tepat misalnya
pernah berkahwin satu, dua atau lebih.
"Kita tak kata pernikahan itu tidak sah dari segi hukum, tetapi mereka perlu
tampil untuk disiasat," katanya.
Metro Ahad, semalam melaporkan lelaki yang menawarkan khidmat sebagai
jurunikah tidak bertauliah itu mengenakan caj RM3,000 hingga RM5,000 untuk
setiap pernikahan dengan alasan ia bergantung kepada penyediaan dokumen.
Join our Telegram Channel