YANGON: Pengerusi parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi
ditahan tentera Myanmar, kata jurucakap parti itu pagi tadi.
"Kita mendengar Presiden (Win Myint) dan Kaunselor Negara (Aung San Suu Kyi)
sudah ditahan di Naypyidaw... kami juga mendengar mereka ditahan oleh
tentera," kata jurucakap NLD, Myo Nyunt.
"Kita beranggapan bahawa tentera sedang merancang untuk merampas kuasa,
berdasarkan situasi semasa dan apa yang kami perhatikan ketika ini," katanya.
Beliau berkata, parti itu juga tidak pasti sama ada persidangan Parlimen yang
julung kali diadakan selepas pilihan raya November lalu, yang sepatutnya
bermula hari ini akan diteruskan atau sebaliknya.
"Sistem telekomunasi terganggu...sukar untuk menghubungi telefon di
Naypyidaw," katanya.
Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min
Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku
bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu, sekali gus menangani krisis politik
itu.
Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam
pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD)
pimpinan Suu Kyi menang besar.
Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera,
masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun
pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.
Wakil rakyat baharu dijangka bersidang di Parlimen hari ini.
Pemilihan pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di
Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator 49 tahun.
Seperti diharapkan, Suu Kyi, tokoh sangat dikenali di Myanmar dan partinya
menyapu bersih pemilihan, sekali gus meneruskan pentadbiran mereka selama lima
tahun lagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel