Artis grafik Fahmi Reza diarahkan ke balai polis Putrajaya jam sebelas pagi
esok berkaitan dua siaran media sosialnya.
Dalam catatan di Facebook, Fahmi memaklumkan yang dia tidak diberitahu
mengenai hantaran Facebook mana yang menyebabkan dia disiasat di bawah Seksyen
233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Berdasarkan tarikh bawah 'nombor report' dalam notis ni, kemungkinan satu
posting/grafik pada Februari 2021, dan satu lagi pada Oktober 2020.
"Saya akan maklumkan selepas selesai jumpa polis esok," katanya hari ini.
Menurut notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah, dua
laporan polis terhadap hantaran Fahmi dibuat pada 4 Oktober dan 15 Februari.
Sepanjang bulan lalu, Fahmi berkongsi pelbagai grafik yang mempersoalkan
dakwaan tindakan pilih kasih dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard
(SOP) pencegahan Covid-19 oleh kerajaan.
Dia juga turut menyasarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan
kunjungan rasmi ke Jakarta pada 5 Februari, yang disusuli dengan pengumuman
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang mengecualikan anggota Kabinet dari
menjalani kuarantin wajib selama 10 hari setelah pulang dari luar negara.
Join our Telegram Channel